Ahad, 28 Mei 2017

Beregu kecundang perseorangan mara



ARKIB : 07/04/2005

TOKYO - Beregu lelaki negara mempamer prestasi paling buruk pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun semalam apabila tiga daripada empat wakilnya tersingkir seawal pusingan pertama.

Bagaimanapun, barisan pemain perseorangan yang diketuai oleh juara Terbuka Thailand, Muhd. Hafiz Hashim menceriakan kem Malaysia apabila enam wakilnya berjaya meneruskan cabaran ke pusingan ketiga.

Pasangan veteran, Choong Tan Fook-Chew Choon Eng hampir pasti sudah boleh melupakan cabaran Kejohanan Dunia, Ogos ini apabila mensia-siakan peluang beraksi pada kelayakan terakhir dengan kekalahan 15-5, 13-15, 12-15 kepada beregu Hong Kong, Liu Kwok Wa-Njoto Albertus Susanto.

Keadaan juga semakin sulit buat pasangan Chan Chong Ming-Koo Kien Keat selepas tumpas 3-15, 9-15 kepada beregu Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen manakala pasangan muda, Tan Bin Shen-Ong Soon Hock memberi cabaran sengit sebelum kalah 6-15, 15-13, 5-15 kepada juara Seluruh England, Fu Haifeng-Cai Yun dari China.

Mohd. Fairuzizuan Tazari-Lin Woon Fui muncul satu-satunya beregu Malaysia yang mara ke pusingan kedua selepas menumpaskan Tadashi Ohtsuka-Keita Masuda dari Jepun 15-6, 17-14. Begitu pun mereka bakal berdepan bekas juara Seluruh England dan pilihan keempat, Lars Paaske-Jonas Rasmussen di pusingan kedua.

Sementara itu, Hafiz yang memburu gelaran ketiga berturut-turut dipaksa berhempas pulas sebelum melepasi halangan jaguh veteran Denmark, Anders Boesen 15-7, 13-15, 15-6. Hafiz kini akan mengulangi pertemuan dengan pilihan keempat, Kenneth Jonassen dari Denmark - pemain yang dikalahkannya di final Terbuka Thailand, minggu lalu.

Pemain nombor satu negara, Lee Chong Wei turut melangkah ke pusingan ketiga selepas menumpaskan penyandang juara, Ronald Susilo dari Singapura 15-6, 17-16 untuk bertemu Bjoern Joppien dari Jerman.

Cabaran sukar bagaimanapun menanti Lee Tsuen Seng dan Kuan Beng Hong di pusingan ketiga hari ini. Tsuen Seng yang mengalahkan Rony Jim Andersen 15-3, 15-4 akan berdepan pemain nombor satu dunia, Lin Dan, manakala Beng Hong yang menumpaskan Niels Christian Kaldau dari Denmark 12-15, 15-4, 15-10 akan bertemu juara Olimpik, Taufik Hidayat dari Indonesia.

Naib juara dunia, Wong Choong Hann pula mengetepikan Yohan Hadikasuma dari Hong Kong 15-12, 15-1 untuk menempah pertemuan dengan bintang baru China, Chen Yu.

Muhd. Roslin Hashim bakal berdepan saingan sukar juara Seluruh England, Chen Hong hari ini selepas mengetepikan Agus Haryanto dari Hong Kong 15-7, 15-4.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0407&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4iMNEeXpR
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan