Khamis, 31 Oktober 2019

Chong Wei mara percuma


ARKIB : 04/10/2008
KUALA LUMPUR - Perseorangan utama lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei tidak perlu menumpahkan setitis peluh pun untuk melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Macau apabila mendapat kemenangan percuma daripada pemain China, Chen Hong pada suku akhir, semalam.
                    
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Beijing dan naib juara Terbuka Jepun, Ogos dan bulan lalu ini akan menentang pemain muda Indonesia, Alamsyah Yunus yang mengejutkan Chan Yan Kit dari Hong Kong 21-17, 21-18 dalam satu lagi suku akhir di Arena Venetian, Kota Macau.

Seorang lagi perseorangan negara, Kuan Beng Hong berhempas pulas selama 47 minit untuk mengatasi pemain veteran nombor dua Malaysia, Wong Choong Hann 21-16, 17-21, 21-11 tetapi bakal berdepan laluan lebih getir menentang pilihan keempat dari Indonesia, Taufik Hidayat, hari ini.

Beregu utama Malaysia, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong semakin hampir mempertahankan gelaran 2007 dengan mengatasi gandingan China, Chai Biao-Liu Xiaolong pada suku akhir, 21-14, 21-12 sambil ditemani gandingan Chan Chong Ming-Chew Choon Eng yang menewaskan Sun Junjie-Chen Xu dari China 21-18, 21-15.

Wakil tunggal Malaysia dalam perseorangan wanita, Julia Wong turut ke separuh akhir dengan menumpaskan pemain China, Wang Lin 22-20, 18-21, 21-13 selepas hampir sejam untuk menentang pilihan keempat dari Hong Kong, Yip Pui Yin yang menundukkan pemain Jepun, Kaori Imabeppu 21-16, 21-12.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz50V7tMn00
© Utusan Melayu (M) Bhd


Tiada ulasan:

Catat Ulasan