Khamis, 17 Oktober 2019

Enam pemain negara mara

14.1.19

TOKYO _ Enam pemain perseorangan lelaki negara melayakkan diri ke pusingan kedua selepas menumpaskan pencabar masing-masing pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di sini, semalam.
Roslin Hashim membuat kejutan apabila menewaskan pemain pilihan kesembilan, Fung Permadi dengan kemenangan straight set 15-5, 15-11.
Fung menjadi pemain pilihan yang paling awal tersingkir dalam persaingan awal pada kejohanan yang menawarkan wang tunai 200,000 dolar ini.
Kemenangan ini menyaksikan Roslin terpaksa berdepan pula dengan bekas juara dunia, Joko Suprianto dari Indonesia yang baru menamatkan persaingan sengit dengan pemain Jepun, Shuichi Nakao untuk kemenangan straight-set.
Joko yang kini menduduki tangga ke-24 dunia terpaksa berhempas-pulas untuk mengesahkan kemenangan pada set pertama dengan tambahan tiga mata sebelum menang 17-14 dan 15-11 pada set kedua dalam perlawanan yang berlangsung selama 49 minit.
Dalam pada itu, Yong Hock Kin yang diletakkan sebagai pilihan kesembilan berjaya mengalahkan seorang lagi pemain Taiwan, Chang Jeng-shyuang 15-5, 15-2.
Rashid Sidek, Ong Ewe Hock, Wong Ewee Mun, dan Ismail Saman pula mencatat kemenangan mudah ke atas lawan yang kesemuanya merupakan pemain tuan rumah.
Rashid menewaskan Takahiro Suka dengan 15-7, 15-3, Ewe Hock mengalahkan Takaaki Taniuchi 15-2, 15-7, manakala Ismail menumpaskan Shuichi Sakamoto 15-5, 15-10.
Begitupun, kejayaan Ewee Mun mengatasi Kusamao Suzuki dengan straight-set 15-5, 15-5 belum menjanjikan laluan mudah apabila dijadualkan menentang pemain nombor satu dunia, Peter Gade-Christensen dari Denmark pada pusingan kedua nanti.
Dalam pada itu, malang menimpa dua lagi pemain negara iaitu Jason Wong dan Wong Choon Hann apabila mereka tewas kepada pencabar masing-masing.
Jason tunduk kepada pemain China, Ji Xinpeng dalam permainan straight set 15-8, 15-4, manakala Choon Hann dikalahkan dengan mudah oleh pemain tuan rumah, Tadashi Otsuka 15-6, 15-5.
Sementara itu, pemain nombor satu dunia ketika ini, Peter Gade Christensen dari Denmark, juara All-England, Dong Jiong dari China dan juara Olimpik, Poul-Erik Hoyer-Larsen dari Denmark, akan memulakan cabaran masing-masing, Rabu ini.
Juara dunia, Ye Zhaoying dari China serta juara bertahan kejohanan ini, Mia Audina dari Indonesia juga akan menerima cabaran pertama bersama enam lagi pemain pilihan kejohanan pada hari tersebut. - AFP.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan