Isnin, 21 Oktober 2019

Roslin angkat sedikit maruah negara


ARKIB : 21/05/1998
PEMAIN Nusa Mahsuri, Roslin Hashim memusnahkan hasrat Indonesia memenangi semua perlawanan dengan Malaysia apabila menewaskan Marleve Mainaky 15-11,15-6 pada pertemuan perseorangan kedua di Stadium Tertutup Queen Elizabeth, Hong Kong, semalam.
Roslin yang pada mulanya disenaraikan sebagai pemain simpanan bersama-sama dengan Wong Choon Hann menggugat keegoaan pasukan Indonesia dengan kemenangan itu setelah Yong Hock Kin serta beregu Cheah Soon Kit-Choon Tan Fook kecundang.
Pemain Kelantan berusia 23 tahun yang mendapat latihan daripada Misbun Sidek mempamerkan permainan seimbang untuk mendahului 4-0 kemudian 11-3, 14-6 sebelum menamatkan set pertama 15-11.
''Permainan Roslin sungguh baik. Dia mempamerkan permainan seimbang dengan membuat beberapa serangan untuk mematikan permainan Marleve.
''Dia bukan sekadar lari dan membuat pukulan rali tetapi juga membuat serangan'' kata Morten Frost Hansen ketika ditemui selepas perlawanan itu.
Marleve yang beraksi cemerlang untuk menang 15-2, 15-1 menentang Jang Chun Woon pada perlawanan menentang Korea Selatan Isnin lalu kelihatan agak gugup pada set kedua berdasarkan beberapa kesilapan yang memberi mata kepada Roslin.
Keadaan itu menyebabkan Roslin yang semakin yakin dengan kemampuannya menguasai perlawanan dan mendahului 5-1, kemudian 9-5 sebelum mengakhiri perlawanan dengan keputusan 15-6 pada pertemuan kali pertamanya dengan pemain itu.
''Saya berharap untuk terus diturunkan pada perlawanan akan datang,'' katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Sementara itu, Misbun yang bangga dengan kemampuan anak buahnya yakin Roslin mampu membuat kejutan lagi. - Utusan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan