Isnin, 21 Oktober 2019

Usaha Misbun berhasil


ARKIB : 23/05/1998
USAHA Misbun Sidek melatih Roslin Hashim sejak dua tahun lalu akhirnya membuahkan hasil apabila pemain Kelantan berusia 23 tahun itu menjadi wira, mengutip mata kemenangan negara pada perlawanan separuh akhir bertemu Denmark di Stadium Tertutup Queen Elizabeth, semalam.
Pertemuan sengit yang menyaksikan kedua-dua negara terikat 2-2 akhirnya menjadi milik Malaysia setelah Roslin menewaskan pemain muda Denmark, Kenneth Jonassen 15-18, 15-5, 15-8 selepas bertarung selama 65 minit.
''Saya tahu Roslin boleh memenangi pertemuan ini kerana dia sudah bersedia. Dia sudah sampai ke tahap permainan yang tinggi dan pada peringkat ini, dia mampu membuat kejutan,'' katanya yang menjadi orang paling gembira dengan kemenangan itu.
Menurut Misbun, dia tidak bimbang dengan permainan Roslin tetapi risau tentang tahap tumpuan pemain itu dan kemampuannya mengawal perasaan takut dengan tanggungjawab berat yang dipikulnya sebagai perseorangan ketiga.
''Saya tidak bimbang permainannya tetapi bimbang dengan orangnya kerana dalam keadaan seperti tadi, perasaan takut boleh mengatasi segala kemampuannya dan menyebabkan dia hilang tumpuan.
''Sekiranya ini berlaku, dia tidak mungkin boleh menang,'' ujarnya.
Roslin mendapat tunjuk-ajar secara peribadi daripada Misbun selepas pemain itu meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akhir 1996.
Sementara itu, Roslin menerima panggilan daripada penaung BAM, Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohammad Ali sebaik memenangi perlawanan tersebut.
Menurut Roslin, Dr. Siti Hasmah yang menyaksikan perlawanan yang dipancarkan secara langsung oleh Radio Television Malaysia (RTM) mengucapkan tahniah kepadanya dan semua pemain negara yang membawa cabaran ke kejohanan Piala Thomas ke-20 itu.
''Dia (Dr. Siti Hasmah) mengucapkan tahniah dan berharap semua pemain mempamerkan permainan yang lebih baik di perlawanan akhir nanti,'' katanya.
Menjelaskan mengenai pertemuannya, dengan Kenneth Jonassen itu, Roslin berkata, dia terasa agak tertekan pada set pertama kerana hilang beberapa mata kepada pemain Denmark itu.
Tetapi menurutnya, dia bangkit pada set kedua untuk menang 15-5 bagi memaksa perlawanan diteruskan ke set penentuan.
Menurut pemain yang mempunyai kelebihan dari segi pertahanan, pada masa rehat selepas set kedua itu, Misbun memberi arahan agar bermain dengan tenang dan menanti peluang untuk mematikan lawan sebaik mungkin.
''Dia menasihatkan saya supaya tidak kelam kabut ketika digelanggang dan menggunakan kelebihan saya bermain rali untuk mematahkan pertahanan lawan,'' katanya yang mengakui permainan ralinya menjadi sepanjang perlawanan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan