Sabtu, 19 Oktober 2019

Rashid mahu cipta hat trik

ARKIB : 25/03/1998
PEMAIN perseorangan negara, Rashid Sidek mahu mencipta hat trik dengan mencapai kejayaan ketiga dalam acara perseorangan di Sukan Komanwel '98 (KL '98) di Kuala Lumpur, September ini.
Beliau yang meraih emas dalam dua dua kejohanan lalu meletakkan sasaran berkenaan sebagai hadiah istimewa kepada negara sebelum bersara dari arena berkenaan.
Jelasnya, penyertaannya dalam KL '98 nanti sudah semestinya menjadi tumpuan memandangkan kejayaannya akan membawa erti mendalam dalam kejohanan berkenaan.
Rashid sebelum ini merangkul emas dalam perseorangan semasa di Sukan Komanwel di Auckland, New Zealand (1990) dan Victoria, Kanada (1994).
Katanya, KL '98 akan memberi cabaran getir terutama sudah semakin ramai jaguh perseorangan dari negara komanwel muncul.
Jelasnya, adalah satu yang membanggakan kepada dirinya dan negara sekiranya kejayaan tersebut dicapai bagi meletakkan penguasaan negara dalam acara berkenaan.
''Saya meletakkan KL '98 sebagai sesuatu yang penting dalam karier dan kejayaan pasti akan memberi kenangan paling manis,'' katanya selepas merasmikan Majalah HOBI di Kuala Lumpur, semalam.
Rashid bagaimanapun mengakui tekanan yang diterima dalam menyandang kejuaraan di KL '98 nanti adalah dari rakan senegara berbanding pemain luar.
Katanya, kemampuan pemain perseorangan negara kini semakin menyerlah dan mula memperlihatkan aksi bertaraf dunia.
''Saya mengakui tekanan daripada pemain negara adalah lebih hebat daripada pemain negara lain,'' tegasnya.
Namun Rashid menegaskan, kemampuan rakan senegara dalam acara perseorangan bukanlah sesuatu yang harus digusarkan kerana membawa kebaikan kepada negara secara keseluruhan
''Kemampuan pemain perseorangan negara sekali gus memberi kelebihan untuk memilih pelapis pada masa hadapan.
''Keadaan ini seharusnya membanggakan kerana kita sudah tidak ketandusan pemain perseorangan berbanding dahulu,'' jelasnya.
Mengenai persiapan menjelang Piala Thomas, Rashid menjelaskan yang setakat ini pasukan negara mula menjalani latihan secara berpusat.
Pemain dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Nusa Mashuri mula menjalani latihan bersama dua kali seminggu bermula semalam.
''Kami semakin bersedia dan akan memberi cabaran terbaik semasa di Hong Kong nanti,'' jelas beliau.
Rashid yang diletakkan dalam perseorangan ketiga berjanji akan memberi komitmen sepenuhnya bagi membawa Malaysia ke tangga terbaik.
''Sumbangan kepada negara adalah penting bagi memartabatkan kemampuan skuad negara di mata dunia,'' tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan