Isnin, 5 Disember 2016

Laluan kita getir

ARKIB : 24/06/1999
LALUAN getir menanti kebanyakan pemain perseorangan utama negara seawal pusingan ketiga pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada 29 Jun hingga 4 Julai ini.

Berdasarkan undian yang diumumkan di Shah Alam semalam, lima pemain negara termasuk Rashid Sidek dan Roslin Hashim disenaraikan dalam 16 pemain pilihan kejohanan lima bintang yang menawarkan hadiah wang tunai AS$150,000 (kira-kira RM570,000) itu.

Selain daripada itu, hanya pasangan muda, Chan Chong Ming-Jeremy Gan diletakkan sebagai pilihan dalam acara beregu lelaki.

Roslin dijangka menjadi pemain pertama negara menguji kemampuan pemain nombor satu dunia, Peter Gade Christensen dari Denmark di pusingan ketiga.

Pemain Kelantan yang kehilangan rentak sejak menjuarai Terbuka Belanda tahun lalu itu akan berdepan dengan pemain Scotland, Craig Robertson di pusingan pertama.

Kemaraan Christensen akan cuba dihalang oleh seorang lagi pemain negara, Ong Ewe Hock di pusingan suku akhir.

Ewe Hock yang diletakkan sebagai pilihan keenam kejohanan akan bertemu pemain bukan pilihan, Rehan Khan dari Jerman di pusingan pertama dalam meniti laluan untuk bertemu Christensen.

Peluang melepasi pusingan ketiga dilihat turut menyebelahi Rashid sekiranya pemain berusia 31 tahun itu tidak diganggu masalah kecederaan yang sentiasa menghantuinya.

Berdasarkan undian, Rashid akan bertemu seorang lagi pemain Denmark, Peter Rasmussen di pusingan suku akhir.

Namun pemain pilihan ketujuh itu perlu melepasi halangan Richard Doling dari England di pusingan pertama sebelum membuat perhitungan dengan Chen Woi dari China atau Boris Kessov (Bulgaria) pada pusingan berikutnya.

Yong Hock Kin yang mengalami kecederaan ketika menyertai Terbuka Melaka, awal bulan ini juga dijangka membuat perhitungan dengan pemain pilihan dari Denmark, Peter Janum atau pemain berpengalaman China, Luo Yigang di pusingan ketiga.

Wong Choon Hann pula berpeluang bertemu naib juara dunia, Fung Permadi dari Taiwan sekiranya berjaya mara ke pusingan ketiga.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola kejohanan, Datuk Zainal Dahalan berpuas hati dengan penyertaan 23 negara termasuk Malaysia pada kejohanan itu.

Menurutnya, kehadiran lebih 200 pemain luar termasuk juara dunia dalam empat daripada lima acara yang dipertandingkan menjadikan persaingan lebih sengit.

Pada sidang akhbr yang diadakan menjelang kejohanan itu, Zainal turut menerima penajaan bernilai RM10,000 daripada Kumpulan Syrikat Johawaki yang diwakili Pengarah Urusannya, Johari Mat.

Oleh: SRY ANGRENI MOHD ZET

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0624&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4Rx4k4DBw © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan