Rabu, 21 Disember 2016

Tumpaskan India, Denmark


 

ARKIB : 14/05/2000
Tumpaskan India, Denmark
PEMAIN negara, Chor Hor Yee berusaha mengembalikan pukulan lawan sambil pasangannya, Ang Li Peng (belakang) melompat kegembiraan selepas menewaskan beregu Jepun, Chikako Nakayama dan Naomi Murakami 10-15, 15-11, 17-15 pada perlawanan Piala Uber di Stadium Putra, Bukit Jalil, semalam. Malaysia bagaimanapun tumpas 3-2 kepada Jepun.

MALAYSIA perlu menang 5-0 ke atas India hari ini dan menewaskan Denmark, juga dengan kemenangan besar, Selasa depan sekiranya mereka mahu memastikan tempat ke separuh akhir Kejohanan Badminton Piala Thomas yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil.

Kekalahan 2-3 ke atas Korea Selatan pada perlawanan pertama kumpulan A (biru) Kejohanan Badminton Piala Thomas kelmarin semenangnya menyukarkan peluang negara untuk mara ke separuh akhir, apalagi untuk menjuarai pertandingan berpasukan itu.

Kedudukan Malaysia bertambah parah apabila Denmark yang berada pada kumpulan yang sama menang mudah 5-0 ke atas India.

Jurulatih beregu negara, Park Joo-bong mengakui Malaysia masih mempunyai peluang mara ke separuh akhir sekiranya memenangi perlawanan dengan India dan Denmark.

''Malaysia perlu menang 5-0 ke atas India hari ini dan sekiranya Korea berjaya menewaskan Denmark 3-2, peluang kita akan lebih terbuka.

''Kita juga perlu memastikan kemenangan ke atas Denmark, sekurang-kurangnya 3-2 dan ini diharap dapat dilakukan dengan kemenangan daripada gabungan acara perseorangan dan beregu,'' katanya di Stadium Putra , semalam.

Perancangan awal untuk memenangi kesemua acara individu musnah apabila perseorangan kedua negara, Ong Ewe Hock gagal menyumbangkan mata kedua negara setelah tewas kepada pemain muda Korea, Lee Huun Il.

Kejayaan Korea mencuri satu mata daripada perseorangannya dan memaksa perlawanan perseorangan pertama beraksi hingga ke set penentuan memberi mereka sedikit kelebihan terutama apabila kiraan semula perlu dibuat untuk menentukan kedudukan pasukan.

Pertemuan dengan India hari ini sememangnnya penting kerana kegagalan dalam mana-mana perlawanan bakal menyukarkan lagi peluang negara menduduki dua tempat teratas dalam pasukan.

Di atas kertas, India sememangnya bakal menjadi pasukan belasanan bagi Denmark, Korea dan Malaysia.

Kegagalan pemainnya yang tewas straight-set dalam semua pertemuan dengan Denmark seharusnya menjadi inspirasi kepada pemain negara untuk turut melakarkan kejayaan yang sama.

''Kita tidak harus memandang rendah kemampuan India kerana berdasarkan pertemuan dengan Denmark semalam (kelmarin), perseorangan ketiganya (Sidharth Jain) berjaya memberi saingan sengit kepada Kenneth (Jonassen) sebelum tewas 16-17, 9-15.

Mengenai barisan pemain beregu yang bakal diturunkan, Joo-bong tidak menafikan pasangan asal Cheah Soon Kit iaitu Yap Kim Hock mungkin diturunkan untuk menilai kemampuannya.

Oleh: SRY ANGRENI MOHD. ZET dan ABD. JAILANI ABDULLAH

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0514&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4TTktc2vp © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan