Rabu, 21 Disember 2016

Wanita kita sekadar di tempat keenam

ARKIB : 13/05/2000
MALAYSIA terpaksa berpuas hati dengan kedudukan di tempat keenam selepas menamatkan kempen mereka pada Kejohanan Hoki Wanita Piala Remaja Asia dengan kekalahan 2-1 kepada Uzbekistan di Stadium Hoki Kuala Lumpur, semalam.

DALLIA DUNSTAN melaporkan, atas kertas Malaysia menjadi pasukan pilihan untuk pertemuan menentang Uzbekistan semalam, tetapi tempoh permainan selama 70 minit di hadapan penonton sendiri membuktikan sebaliknya.

Malaysia dikejutkan dengan gol pertama Uzbekistan seawal minit ketiga hasil jaringan ketua pasukan, Zaripova Alfina yang tidak dikawal.

Pasukan negara bangkit menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-14 menerusi jaringan daripada jaringan Norasmawati Abdullah selepas mendapat hantaran pukulan sudut penalti daripada Norfarah Hashim.

Pada babak kedua, Uzbekistan mendapat pukulan sudut penalti selepas bola terkena kaki salah seorang pemain negara di luar gawang gol pada minit ke-39.

Penyerang Uzbekistan, Sainazarova Nazira tidak melepaskan peluang dengan merembat bola menewaskan penjaga gol negara, Siti Azura Yusof untuk mendahului Malaysia 2-1.

Malaysia berusaha mencari gol penyamaan, tetapi nyata hampa dengan kekebalan pertahanan Uzbekistan.

Jurulatih negara, Siva Subramaniam berkata, ketiadaan pemain utama, Katharine Lambung menjejaskan corak permainan Malaysia.

Katharine cedera di bahagian belakan dan tidak dapat diturunkan. Ia memberi kesan yang besar di barisan pertahanan.

''Saya tidak banyak pilihan dan terpaksa menurunkan pemain yang kurang berpengalaman untuk mengambil tempatnya,'' kata jurulatih itu.

Dalam perlawanan terdahulu untuk penentuan tempat ketujuh, Taiwan menewaskan Thailand 3-0. Ketiga-tiga gol Taiwan diperoleh menerusi Wang Chia-Lin (45), Lin Yi-Ching (52) dan Lin Ya-Ju pada minit ke-57.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0513&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4TT7HtGBf © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan