Sabtu, 17 Disember 2016

Fokus kecergasan Chong Wei

 Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my
 
Kuala Lumpur: Perkara paling penting bukan ketiadaan Chen Long tetapi tahap kecergasan Datuk Lee Chong Wei (gambar) untuk beraksi di Siri Super Akhir di Dubai pada 14 hingga 18 Disember ini.

Perkara itu disuarakan jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan yang mengakui anak buahnya tetap akan memberi fokus sepenuhnya mengharungi kejohanan berkenaan walaupun tanpa bintang China itu.


“Apa yang paling penting sekarang tahap kecergasan Chong Wei, tidak kira siapa tarik diri, fokus hanya diri sendiri,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Jelasnya, keinginan tinggi ditunjukkan Chong Wei untuk kembali beraksi selepas hampir dua bulan berehat bakal menjadi tonik buat dirinya di kejohanan berkenaan.

“Chong Wei sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring. Tahap kecergasan juga memuaskan tapi jika mahu dibandingkan dengan prestasinya ketika Olimpik sudah pasti berbeza kerana sebelum Olimpik persiapan memang rapi.

“Saya nampak dia menunjukkan kemahuan tinggi untuk kembali beraksi dalam kejohanan.

“Selepas sudah lama tidak beraksi, dia rindu untuk bermain di peringkat tertinggi. Itu yang membuatkan semangatnya membara sekali gus mengukir petanda positif untuk dia memberikan aksi terbaik,” katanya.

Chong Wei mengalami kecederaan hamstring ketika beraksi di Terbuka Denmark, Oktober lalu sehingga menyaksikan dia terpaksa menarik diri daripada Terbuka Perancis, China dan Hong Kong.

Peluang Chong Wei untuk merangkul gelaran kelima pada kejohanan itu nampak cerah selepas pemenang emas Olimpik Rio 2016, Chen Long menolak tiket wild card yang diberikan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Tempat Chen Long akan digantikan dengan pemain Hong Kong, Hu Yun. Turut akan bersaing di Dubai nanti Angus Ng Ka Long (Hong Kong), Son Wan Ho (Korea Selatan), Marc Zwiebler (Jerman), Tian Houwei (China), Jan O Jorgensen (Denmark) dan Viktor Axelsen (Denmark).

Sebagai rekod, Chong Wei sudah empat kali merangkul gelaran Siri Super Akhir pada 2008, 2009, 2010 dan 2013.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2016 @ 11:07 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan