Jumaat, 9 Disember 2016

Misbun harap Joo-bong dapat bawa perubahan

ARKIB : 04/10/1999
PENGAMBILAN jaguh beregu Korea Selatan, Park Joo-bong sebagai ketua jurulatih beregu negara diharap dapat membina skuad beregu kebangsaan yang berwibawa pada masa depan.

Jurulatih Kelab Profesional Badminton Nusa Mahsuri, Misbun Sidek ketika melahirkan harapan itu berkata, berdasarkan pengalaman sebagai juara bergu dunia yang disegani, Joo-bong mampu membentuk pasukan beregu kebangsaan yang setanding dengan pasangan elit antarabangsa yang lain.

Sehubungan itu, katanya, langkah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melantik Joo-bong sebagai ketua jurulatih beregu negara amat baik dan dialu-alukan.

''Saya harap dengan tunjuk ajar daripada Joo-bong, Malaysia akan dapat mengembalikan era kecemerlangan dalam pasangan beregu yang sentiasa dihormati oleh pasukan lawan,'' ujarnya ketika ditemui di Kuching, semalam.

Misbun bersama beberapa pemain Nusa Mahsuri seperti Rashid Sidek, Abdul Rahman Sidek dan Roslin Hashim berada di Kuching kerana menghadiri majlis penutupan klinik badminton kebangsaan yang diadakan di Kompleks Belia dan Sukan Negeri, Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce selama dua hari mulai Jumaat lalu.

Menurut Misbun, 40, setakat ini beliau belum dapat untuk memberi sebarang ulasan terhadap corak latihan Joo-bong kerana ia baru memulakan tugas kira-kira seminggu lalu.

Tambahnya, para pemain beregu kebangsaan pula belum dapat mengimplementasikan segala teknik dan bentuk latihan yang diajar oleh Joo-bong.

''Saya yakin dan percaya Joo-bong akan dapat berbuat sesuatu yang terbaik untuk meningkatkan lagi imej skuad beregu negara di arena antarabangsa,''ujarnya.

Sementara itu, Misbun berkata, Nusa Mahsuri akan tetap bekerjasama dengan BAM dalam membantu membangunkan imej pasukan badminton negara.

Menurutnya, pihaknya tidak ada masalah untuk mengadakan program-program latihan kepada skuad negara sebagai persiapan untuk menghadapi cabaran Sukan Olimpik, Piala Thomas dan Sukan SEA ke-21.

''Apatah lagi, Rashid dan Roslin telah disenaraikan dalam Projek Gemilang 2001 dan ini memerlukan Nusa Mahsuri turut terlibat dalam mengatur latihan untuk kedua-dua pemain berkenaan,'' katanya.

Dalam pada itu, Misbun akan memastikan Rashid dan Roslin dapat melayakkan diri ke pertandingan Sukan Olimpik di Sydney tahun depan.

Untuk tujuan itu, ujarnya, kedudukan ranking kedua-dua pemain itu perlu berada dalam 16 kelompok pemain terbaik dunia.

''Pada masa ini, Rashid menduduki ranking ke-13 sementara Roslin ranking ke-23 dunia,'' jelasnya sambil berkata kedua-dua pemain tersebut akan menyertai Terbuka Denmark mulai 13 hingga 20 Oktober ini.

Misbun berkata, Rashid dan Roslin akan terus membawa cabaran negara di pentas dunia bagi memperbaiki kedudukan mereka.

SUMBER-Artikel Penuhhttp://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4SOcGondt © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan