Jumaat, 2 Disember 2016

Rashid dapat kepercayaan BAM

ARKIB : 05/05/1999
PEMAIN Nusa Mahsuri, Rashid Sidek terus mendapat kepercayaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk memikul cabaran negara pada Sukan SEA XX Brunei bermula 7 hingga 15 Ogos ini.

Bagaimanapun, rakannya dari kelab yang sama, Roslin Hashim yang pernah beraksi pada Piala Thomas dan Sukan Asia tahun lalu tercicir daripada senarai yang dikeluarkan oleh BAM di Kuala Lumpur, semalam.

Rashid yang menjadi pemain tunggal kelab itu tersenarai ke pertandingan Piala Sudirman dan Kejohanan Dunia di Copenhagen, minggu depan merupakan antara 16 pemain yang terpilih ke temasya dwitahunan itu.

Meskipun takut meletakkan sasaran yang tinggi, BAM pada mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan kelmarin tetap membariskan pemain terbaik mereka ke Brunei.

BAM sekadar meletakkan sasaran meraih dua pingat perak dan dua gangsa pada temasya kali ke-20 itu walaupun Indonesia yang menjadi musuh tradisi dikatakan akan menghantar pasukan pelapis.

Sasaran itu sama seperti yang diperoleh pada Sukan SEA di Jakarta dua tahun lalu.

Ketika itu pasukan lelaki dan Ong Ewe Hock masing-masing menyumbang sebutir pingat perak, manakala pasukan wanita dan gandingan Chew Choon Eng-Ang Li Peng memperoleh pingat gangsa.

Setiausaha Kehormatnya, Datuk Mohammed Al-Amin Majid berkata, keputusan menurunkan pemain-pemain tersebut dibuat kerana Sukan SEA merupakan gelanggang terbaik menguji prestasi mereka.

''Pemilihan pemain dibuat berdasarkan prestasi semasa mereka disamping kedudukan ranking pemain terbabit,'' katanya yang dihubungi, semalam.

Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa sasaran pingat yang diumumkan sebelum ini masih kekal sehingga mereka pasti skuad yang bakal diturunkan oleh Indonesia.

Mengenai pemain beregu, Al-Amin berkata, Cheah Soon Kit dan Choong Tan Fook masih tetap disenaraikan kerana mereka merupakan pasangan terbaik negara ketika ini.

''Kami yakin mereka (Soon Kit-Tan Fook) akan terus bergandingan untuk temasya ini,'' ujarnya.

Oleh: SRY ANGRENI MOHD. ZET

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Rgfpd5r8 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan