Rabu, 7 Disember 2016

MSN akan tentukan kedudukan Misbun

ARKIB : 26/08/1999
MAJLIS Sukan Negara (MSN) akan menentukan kedudukan jurulatih negara, Misbun Sidek dalam usaha memantapkan lagi program persediaan skuad badminton Piala Thomas/Uber 2000 dan Olimpik Sydney 2000.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Mazlan Ahmad berkata demikian ketika mengulas penawaran diri Misbun untuk memikul tugas jurulatih negara dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

''Misbun sebenarnya sudah memikul tugas jurulatih dalam Program Gemilang 2001 bagi persiapan Sukan SEA. Kita akan kaji dari segi peranan yang boleh dimainkan olehnya bagi persiapan Piala Thomas dan Olimpik 2000.

''Sekarang ini bagi saya sudah tiada kelompok Nusa Mahsuri dan BAM. Semuanya bersatu demi memantapkan skuad negara,'' ujar beliau.

Menurutnya, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Presiden BAM, Datuk Dr. Fadzil Che Wan untuk menyusun program yang boleh dikendalikan Misbun bagi dua kejohanan besar itu.

''Kita akan teliti apa yang boleh dilakukan Misbun. Saya akan bincangkan dengan pegawai BAM serta presiden mereka dalam hal ini.

''Soal peletakan jawatan Morten Frost, saya tidak dapat ulas kerana belum berjumpa Dr. Fadzil dan para pegawai BAM,'' tambahnya.

Frost sebelum ini dikatakan telah menghantar surat peletakan jawatannya sebagai Pengarah Kejurulatihan persatuan itu, tetapi laporan itu segera dinafikan Fadzil yang berkata bekas jurulatih Denmark itu akan terus bersama BAM.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau tidak mendapat maklumat rasmi daripada BAM berhubung peletakan jawatan Frost.

''Saya tidak dengar apa-apa daripada BAM mengenainya, kecuali menerusi laporan akhbar. BAM juga tidak memaklumkan kepada saya hal itu.

''Kita hanya pernah bincangkan mengenai Park Joo Bong (bekas jurulatih beregu England),'' ujar beliau.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0826&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4S9e8g5q4 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan