Rabu, 14 Disember 2016

Hock Kin, Cheah-Yap mara ke suku akhir

ARKIB : 21/01/2000
YONG Hock Kin dan beregu veteran, Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock mencipta kejutan dengan menumpaskan pemain pilihan untuk mara ke suku akhir kejohanan badminton Terbuka Taiwan, semalam.

Turut beraksi cemerlang adalah pemain muda negara, Ismail Saman yang menyingkirkan bekas juara dunia dan pilihan ketujuh dari Indonesia, Haryanto Arbi 9-15, 15-9, 15-4, untuk menempah pertemuan dengan rakan senegara, Wong Choong Hann.

Choong Hann, pilihan ketiga mara selepas menang 17-15, 4-15, 15-7. Ismail menang dalam pertemuan terakhir kedua-dua pemain di separuh akhir Terbuka Korea.

Hock Kin, yang tidak merangkul sebarang kejuaraan antarabangsa sepanjang musim lalu bertindak cemerlang dengan menundukkan penyandang juara dari Taiwan, Fung Permadi 15-13, 15-7.

Pilihan ke-12 dan bekas juara Terbuka Indonesia ini dijangka mudah melepasi pusingan suku akhir apabila berdepan pencabar tidak ternama dari Denmark, Jens Boesen.

Bekas pasangan nombor satu negara, Soon Kit-Kim Hock pula menebus aksi hambar pada Terbuka Korea minggu lalu dengan menyingkirkan juara bertahan dari Indonesia, Denny Kantono-Antonius Budi Ariantho.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Atlanta 1996 itu, yang kembali membuka peluangnya untuk membuat penampilan semula pada Sukan Olimpik menang 15-10, 15-10.

Bagaimanapun cabaran negara dalam perseorangan lelaki dalam kejohanan bernilai AS$150,000 (RM570,000) itu gagal diteruskan oleh Ong Ewe Hock dan Roslin Hashim, yang kandas pada pusingan kedua masing-masing.

Naib juara Kejohanan ABC, Ewe Hock terpaksa akur dengan kehebatan pemain remaja Indonesia dan juara Sukan SEA, Taufik Hidayat apabila tewas 8-15, 9-15.

Roslin pula hanya mampu memberi saingan pada set pertama 13-15, sebelum menyerah mudah di set kedua 4-15 kepada pemain nombor satu dunia dan juara baru Terbuka Korea, Peter Gade Christensen dari Denmark.

Sementara itu kedua-dua beregu campuran negara Chan Chong Ming-Joanne Quay dan Chew Choon Eng-Lim Pek Siah mara ke suku akhir, manakala cabaran bekas juara remaja dunia, Chong Ming-Jeremy Gan dalam beregu lelaki berakhir.

Naib juara Terbuka Korea, Rashid Sidek tewas pada pusingan pertama kepada pemain Thailand, Boonsak Polsana 15-7, 11-15, 11-15.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4St8Bajv2 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan