Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Perkara paling
penting bukan ketiadaan Chen Long tetapi tahap kecergasan Datuk Lee Chong Wei
(gambar) untuk beraksi di Siri Super Akhir di Dubai pada 14 hingga 18 Disember
ini.
Perkara itu disuarakan jurulatih
perseorangan lelaki negara, Hendrawan yang mengakui anak buahnya tetap akan
memberi fokus sepenuhnya mengharungi kejohanan berkenaan walaupun tanpa bintang
China itu.
“Apa yang paling penting
sekarang tahap kecergasan Chong Wei, tidak kira siapa tarik diri, fokus hanya
diri sendiri,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.
Jelasnya, keinginan tinggi
ditunjukkan Chong Wei untuk kembali beraksi selepas hampir dua bulan berehat
bakal menjadi tonik buat dirinya di kejohanan berkenaan.
“Chong Wei sudah pulih
sepenuhnya daripada kecederaan hamstring. Tahap kecergasan juga memuaskan tapi
jika mahu dibandingkan dengan prestasinya ketika Olimpik sudah pasti berbeza
kerana sebelum Olimpik persiapan memang rapi.
“Saya nampak dia menunjukkan
kemahuan tinggi untuk kembali beraksi dalam kejohanan.
“Selepas sudah lama tidak
beraksi, dia rindu untuk bermain di peringkat tertinggi. Itu yang membuatkan
semangatnya membara sekali gus mengukir petanda positif untuk dia memberikan
aksi terbaik,” katanya.
Chong Wei mengalami kecederaan
hamstring ketika beraksi di Terbuka Denmark, Oktober lalu sehingga menyaksikan
dia terpaksa menarik diri daripada Terbuka Perancis, China dan Hong Kong.
Peluang Chong Wei untuk
merangkul gelaran kelima pada kejohanan itu nampak cerah selepas pemenang emas
Olimpik Rio 2016, Chen Long menolak tiket wild card yang diberikan Persekutuan
Badminton Dunia (BWF).
Tempat Chen Long akan
digantikan dengan pemain Hong Kong, Hu Yun. Turut akan bersaing di Dubai nanti
Angus Ng Ka Long (Hong Kong), Son Wan Ho (Korea Selatan), Marc Zwiebler
(Jerman), Tian Houwei (China), Jan O Jorgensen (Denmark) dan Viktor Axelsen
(Denmark).
Sebagai rekod, Chong Wei sudah
empat kali merangkul gelaran Siri Super Akhir pada 2008, 2009, 2010 dan 2013.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Jumaat, 9 Disember 2016 @ 11:07 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan