Rabu, 7 Disember 2016

Rashid tangga ke-7 di Asia

ARKIB : 24/08/1999
WALAUPUN tidak diturunkan dalam acara individu pada Sukan SEA XX di Brunei, perseorangan utama Nusa Mahsuri, Rashid Sidek masih mampu memperbaiki kedudukan dalam ranking terbaru Asia yang dikeluarkan semalam.

Selepas naik satu anak tangga dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (IBF) yang dikeluarkan Khamis lalu, pemain nombor 10 dunia itu melonjak dua anak tangga ke kedudukan ketujuh Asia.

Kedudukan Rashid itu dijangka tidak bertahan lama dan dia berupaya untuk memperbaikinya lagi sekiranya mencatat keputusan yang baik pada Kejohanan Terbuka Singapura yang sedang berlangsung.

Malah, keputusan bekas juara Terbuka Malaysia itu untuk turut bertanding pada Terbuka Indonesia bulan depan, mencerahkan lagi peluangnya untuk meningkatkan kedudukan dan sekali gus meraih mata kelayakan ke Sukan Olimpik Sydney 2000.

Selain Rashid, naib juara Sukan SEA, Wong Choong Hann turut mempamer peningkatan dari anak tangga keenam minggu lalu, melonjak ke kedudukan kelima.

Choong Hann, pemain nombor lapan dunia tidak beraksi di Singapura, sebaliknya memilih untuk hanya bertanding di Terbuka Indonesia, sebelum menyertai Kejohanan Badminton Asia di Kuala Lumpur, bulan depan.

Bagaimanapun pemain separuh akhir Grand Prix Dunia Akhir, Ong Ewe Hock, yang tersingkir dari kontinjen Sukan SEA, mengalami kejatuhan satu anak tangga ke kedudukan kelapan.

Ewe Hock, yang tidak beraksi pada sebarang kejohanan selepas mempamer aksi hambar di Terbuka Malaysia Jun lalu, turut mengalami kejatuhan pada ranking IBF dengan berada di tangga ke-14 daripada kedudukan ke-12.

Namun begitu, malang bekas pemain nombor dua dunia, Yong Hock Kin lebih buruk lagi apabila terkeluar daripada kelompok 10 pemain terbaik Asia.

Hock Kin, 25, yang tersingkir seawal pusingan ketiga di Terbuka Malaysia, sebelum menarik diri pada Terbuka Thailand akibat kecederaan turut terkeluar dari kelompok 20 pemain terbaik dunia.

Kedudukan itu dijangka menjadi bertambah buruk selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memutuskan untuk tidak menghantar pemain itu ke Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia, di mana dia merupakan penyandang juara.

Juara dunia, Sun Jun dari China masih menguasai kedudukan nombor satu Asia, diikuti Fung Permadi, Chen Gang dari China dan Budi Sontoso dari Indonesia.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, dua pemain utama Denmark, Peter Gade-Christensen dan Camilla Martin diletak sebagai pilihan utama untuk menjuarai perseorangan lelaki dan wanita Terbuka Singapura yang menawarkan AS$150,000 (RM570,000).

Selain Gade-Christensen, naib juara tahun lalu, Denmark juga dijangka akan menguasai arena perseorangan lelaki dengan kehadiran juara Sukan Olimpik, Poul-Erik Hoyer-Larsen dan Peter Rasmussen.

Fung merupakan satu-satunya pemain Asia yang berada dalam kedudukan empat terbaik, manakala penyandang juara H. Hendrawan dari Indonesia di tangga keenam dan rakan senegara, Budi Santoso di kedudukan ketujuh.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0824&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4S8lqw2jz © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan