Khamis, 8 Disember 2016

Soon Kit-Kim Hock kandas -- Ewe Hock hampiri kejuaraan

ARKIB : 19/09/1999
ONG Ewe Hock semakin menghampiri impian membawa pulang gelaran perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Asia (ABC) - JVC sejak lima tahun, apabila melangkah ke perlawanan akhir di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras semalam.

Bagaimanapun hasrat pasangan veteran, Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock untuk merampas semula kejuaraan yang dirangkul pada 1995 tidak kesampaian, apabila kandas di separuh akhir.

Peluang perseorangan utama negara, Ewe Hock pada perlawanan akhir hari ini tampak lebih mudah, apabila berjaya menggelak pertemuan dengan pilihan pertama serta pemain nombor empat dunia, Fung Permadi dari Taiwan, yang tewas pada satu lagi pertarungan separuh akhir.

Ewe Hock, pilihan ketiga akan berdepan pilihan keempat, Chen Hong dari China, selepas menyingkirkan pilihan kelapan dan naib juara tahun lalu, Marleve Mainaky dari Indonesia 15- 3, 5-15, 15-7 di separuh akhir semalam.

Soon Kit-Kim Hock, yang membuat penampilan sulung sejak Sukan Komanwel, September tahun lalu masih mempamer aksi menarik meskipun tumpas straight-set 16-17, 8-15 kepada pilihan ketiga dari China, Zhang Wei-Zhang Jun.

Chen Hong mengejutkan naib juara dunia, Fung 15-8, 9-15, 15-7, manakala juara dunia dan pasangan nombor satu dunia, dari Korea Selatan, Ha Tae Kwon-Kim Dong Moon menumpaskan Pramote Teerawiwatana-Tesana Panvisavas dari Thailand 15-11, 15-7 dalam satu lagi separuh akhir beregu lelaki.

''Ini adalah permainan terbaik saya sepanjang tahun ini,'' kata Ewe Hock, yang beraksi dalam perlawanan akhir buat kali pertama sejak muncul naib juara All-England tahun lalu.

''Saya percaya saya mempunyai peluang yang cerah untuk muncul juara jika berjaya mengekalkan permainan hari ini apabila menentang Chen Hong esok,'' katanya lagi.

Ini adalah pertemuan pertama kedua-dua pemain, tetapi Ewe Hock mempunyai rekod baik pada awal musim apabila melangkah ke separuh akhir Grand Prix Dunia akhir di Brunei, tetapi menarik diri akibat masalah kesihatan.

Kali terakhir Malaysia merangkul juara perseorangan lelaki di Kejohanan ABC adalah di Shanghai, China pada 1994 menerusi Foo Kok Keong, manakala Rashid Sidek memegang rekod pemenang dua kali pada 1991 dan 1992.

Dalam perlawanan semalam, Ewe Hock, yang kembali melonjak dalam kelompok 10 pemain terbaik dunia kelmarin, selesa pada permainan set pertama apabila tidak langsung tercabar untuk menang 15-3.

Bagaimanapun pemain berusia 27 tahun itu bergelut dalam set kedua apabila satu ketika ketinggalan 0-6, tetapi merapatkan jurang kepada 5-9 sebelum tersangkut dengan lima mata dan tumpas 5-15.

Bagaimanapun pada set ketiga, dia merubah corak permainan kepada aksi di jaring. Tindakan Ewe Hock menjadi, apabila Marleve, yang menumpaskan penyandang juara, Chen Gang di suku akhir ternyata mempunyai permainan jaring yang lemah.

Sementara itu Soon Kit berpuas hati dengan permainan yang dipamerkan semalam, meskipun terlepas kejuaraan kedua selepas empat tahun menunggu.

''Kami buktikan yang kami masih mampu bermain baik, walaupun lebih setahun tidak bersama,'' kata Soon Kit. ''Kami hanya perlukan lebih kekuatan dan kombinasi jika mahu pergi lebih jauh,'' katanya lagi.

Kejohanan ABC semalam turut menyaksikan kejutan dalam perseorangan wanita, apabila pemain nombor satu dunia, Dai Yun tumpas kepada rakan senegara dari China, Zhang Ning 11-9, 4-11, 3-11.

Zhang Ning akan menempah pertemuan dengan rakan senegara dan juara bertahan, Ye Zhaoying yang menumpaskan Gong Zichao, juga dari China 11-2, 11-4 dalam satu lagi separuh akhir.

Dalam beregu campuran, pilihan utama dan pemain nombor satu dunia, Kim Dong Moon-Ra Kyung Min dari Korea Selatan akan bertemu pilihan kedua dari China, Liu Yong-Ge Fei dalam perlawanan akhir.

Pilihan utama, Ge Fei-Gu Jun dari China pula akan bertemu pilihan kedua, Ra Kyung Min-Chung Jae He dari Korea Selatan dalam perlawanan akhir beregu wanita

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0919&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4SGNXw9Cz © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan