Rabu, 7 Disember 2016

Hanya beregu mara

ARKIB : 28/08/1999
SINGAPURA - Juara Sukan Komanwel, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah meneruskan kecemerlangan pada Kejohanan Badminton Piala Konica Terbuka Singapura apabila muncul wakil tunggal negara ke separuh akhir selepas menundukkan pilihan kelima, Ricky Subagja-Rexy Mainaky dari Indonesia di Stadium Tertutup Singapura, di sini semalam.

Bagaimanapun perseorangan lelaki negara, Ong Ewe Hock, pilihan ketujuh tunduk kepada bekas juara dunia dari Indonesia, Heryanto Arbi 15-13, 9-15, 9-15.

Manakala perseorangan wanita negara, Ng Mee Fen langsung tidak memberi tentangan apabila kalah mudah kepada pemain pilihan keempat dari China, Gong Zhichao 11-1, 11-4.

Naib juara Kejohanan Asia, Tan Fook-Wan Wah yang baru tiga bulan digandingkan semula setelah dipisahkan selepas tamat Sukan Komanwel, mempamer aksi baik ketika menang 15-11, 15-13 ke atas bekas beregu nombor satu dunia, Recky-Rexy.

Ini adalah kejutan kedua yang dicatat pemenang pingat perak Sukan SEA XX itu, selepas menumbangkan juara dunia, Hae-Tae Kwon-Lee Dong Moon di pusingan ketiga semalam.

Pasangan negara hampir diheret beraksi dalam permainan rubber-set, selepas ketinggalan 6-11 dalam set kedua, tetapi bangkit untuk kedudukan 13-13.

Wan Wah berkata, dia yakin dapat menewaskan pasangan Indonesia kerana kejayaan itu pernah dikecapi semasa Kejohanan Badminton Dunia di Denmark.

Tan Fook pula berkata semasa ketinggalan pada kedudukan 6-11, dia tidak merasa cemas sebaliknya tetap memberikan tumpuan sehingga membolehkan mereka memenangi perlawanan tersebut.

Sementara itu, pemain perseorangan negara Ewe Hock pada set pertama berjaya menunjukkan permainan yang cemerlang dan pernah meninggalkan Heryanto pada kedudukan selesa, 8-0.

Heryanto yang dapat memperbaiki corak permainan jaring yang lemah dan banyak memberi mata kepada Ewe Hock berjaya mengatasinya dan mengejar Ewe Hock pada kedudukan 13-13.

Dua mata kemenangan yang diperoleh Ewe Hock adalah hasil kegagalan Heryanto di jaring yang membolehkan Ewe Hock menang set pertama 15-13.

Walaupun Ewe Hock mendahului 3-0 pada set kedua tetapi pemain negara itu gagal untuk menyekat kepantasan dan pukulan smash tepat pemain Indonesia sehingga meninggalkan pemain negara pada kedudukan 6-12.

Manakala pemain perseorangan wanita negara, Ng Mee Fen pula terpaksa mengakhir perjuangannya setelah tewas kepada pemain China, Gon Zhichao dengan 11-1 dan 11-4.

Jurulatih kebangsaan Morten Frost berkata Mee Fen telah menunjukkan permainan yang baik walaupun ditewaskan oleh pemain nombor tiga dari China.

Oleh: ISHAK SALLEH

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0828&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4S9jMMy4Y © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan