Sabtu, 3 Disember 2016

Semua pemain negara terkandas

ARKIB : 22/05/1999
COPENHAGEN, Denmark - Malaysia mengucapkan selamat tinggal kepada Kejohanan Badminton Dunia apabila kesemua wakilnya dalam perseorangan dan beregu lelaki, terkandas pada pusingan ketiga di Dewan Broendby, kelmarin.

Yong Hock Kin, Rashid Sidek dan Wong Choon Hann gagal ke suku akhir setelah kecundang di tangan lawan masing-masing, begitu juga dua beregu negara - Cheah Soon Kit-Choong Tan Fook serta Jeremy Gan-Chan Chong Ming.

Soon Kit-Tan Fook yang masih diselubungi hubungan dingin sejak sesi latihan di Kuala Lumpur lagi, menyerah mudah 4-15, 10-15 kepada pasangan Korea Selatan, Lee Dong Soo-Yoo Yong Sung yang juga naib juara Seluruh England.

Sementara Jeremy-Chong Ming sempat memberi sedikit saingan sebelum dihampakan oleh pasangan China, Chen Qiqiu-Yu Jinhao 13-15, 5-15.

Terdahulu, Yong Hock Kin dan Rashid Sidek pula menyerah kepada dua pemain tuan rumah manakala Wong Choon Hann turut tumbang ketika berdepan dengan Fung Permadi dari Taiwan.

Hock Kin kalah 9-15, 3-15 kepada pilihan utama, Peter Gade-Christensen sementara pilihan keempat, Poul-Erik Hoyer-Larsen membenam Rashid 15-6, 15-8. Juara Sukan Komanwel, Choon Hann yang cuba mengubah nasib negara, turut hampa apabila tunduk mudah 7-15, 7-15.

Jejak Larsen dan Christensen ke suku akhir itu turut disusuli oleh tiga lagi pemain tuan rumah yang melepasi halangan masing-masing.

Peter Rasmussen, Thomas Stuer-Lauridsen dan Kenneth Jonassen kelmarin melengkapkan kemaraan wakil Denmark itu selain Fung serta Hendrawan (Indonesia) dan Sun Jun (China) turut ke suku akhir.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0522&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RlnJSANa © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan