Selasa, 20 Disember 2016

ARKIB : 02/05/2000 Chong Ming memikat -- Yap Kim Hock belum pulih sepenuhnya - Joo Bong


 

MEI 2000
RASHID Sidek (tengah) berbincang dengan pengurus pasukan, Datuk Mohd. Al-Amin Majid (kanan) dan jurulatih, Kwan Yoke Meng ketika menjalani latihan ringan menjelang pusingan akhir Piala Thomas di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.

JUARA remaja dunia, Chan Chong Ming sudah boleh mengintai penampilan sulung dalam pusingan akhir badminton Piala Thomas apabila ketua jurulatih beregu negara, Park Joo Bong semalam mengesahkan beregu veteran, Yap Kim Hock belum pulih daripada kecederaan betis kiri.

Menurut Joo Bong, sehingga semalam Chong Ming masih menjalani latihan bersama Cheah Soon Kit, manakala Kim Hock pula tidak dibenarkan melakukan latihan berat kerana tidak mahu mengambil sebarang risiko.

''Sehingga hari ini, Kim Hock masih lagi menjalani latihan ringan dan belum bersedia melakukan kerja-kerja berat kerana kami khuatir kecederaannya akan bertambah serius,'' kata Joo Bong selepas latihan di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil semalam.

''Dia nampak sedikit keletihan, bagaimanapun saya rasa itu kerana dia kurang menjalani latihan berat sejak kebelakangan ini dan baru balik daripada bercuti semalam,'' katanya lagi.

Joo Bong berkata, perkembangan Kim Hock masih di dalam perhatiannya serta ketua perubatan Institut Sukan Negara (ISN), Dr. Ramlan Aziz.

Katanya, buat masa ini belum ada sebarang keputusan dibuat mengenai kedudukan terbaru beregu negara, malah beliau belum memikirkan strategi untuk memecah gandingan yang sedia ada.

''Setakat ini kita jalankan latihan seperti biasa dengan Soon Kit terus bersama Chong Ming kerana Kim Hock perlu direhatkan, bagaimanapun ia tidak bermakna gandingan ini akan dikekalkan,'' katanya.

Bagaimanapun Joo Bong mengakui, keserasian yang mula dipamer Soon Kit-Chong Ming berjaya memikat hatinya dan memperkuatkan lagi kemungkinan pasangan itu akan dikekalkan pada hari sebenar kejohanan.

''Semuanya bergantung kepada perkembangan semasa. Walau apa pun keputusan nanti, kita tetap akan berdepan dua risiko..pertama risiko kecederaan dan kedua risiko menurunkan gandingan baru,'' katanya lagi.

Sementara itu Soon Kit berkata, dia tidak menghadapi masalah untuk diganding dengan mana-mana pemain kerana sudah serasi dengan corak permainan kedua-duanya.

''Sudah tentu saya sudah tahu serta masak dengan corak permainan Kim Hock kerana kami sudah lama bersama dan memenangi beberapa gelaran.

''Bagaimanapun, saya senang berganding dengan Chong Ming. Walaupun masih muda dia begitu berbakat dan rajin belajar.

''Apa yang dapat saya katakan, kami semakin serasi dan saya tidak menghadapi masalah jika berganding dengannya pada pusingan akhir dan saya juga selesa jika Kim Hock dapat pulih sepenuhnya,'' katanya lagi.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0502&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4TOry9xwm © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan