Khamis, 8 Disember 2016

BAM terima semula Soon Kit-Kim Hock

ARKIB : 03/09/1999
GAMBAR kenangan Kim Hock (kiri) dan Soon Kit ketika muncul Olahragawan Keemasan Benson & Hedges/SAM 1997 selepas meraih pingat perak di Sukan Olimpik 1996. Kim Hock kembali beraksi bersama Soon Kit, selepas hampir setahun bersara.

HAJAT pemain veteran, Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock untuk kembali bersama terkabul, apabila Jawatankuasa Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) secara prinsipnya menerima penyatuan semula bekas beregu nombor satu negara itu, lapor NORZIE MOHD. KHASBI.

Jawatankuasa itu, yang bermesyuarat semalam yakin kedua-dua pemain masih berupaya memberi sumbangan terutama ketika Malaysia berdepan misi besar menghadapi Piala Thomas dan Sukan Olimpik, tahun depan.

''Secara prinsipnya kami bersetuju menerima semula Kim Hock untuk berpasangan dengan Soon Kit,'' kata Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan BAM, Datuk Mohd. Al-Amin Majid di Kuala Lumpur, semalam.

''Bagaimanapun, pengesahan hanya akan dibuat oleh presiden (Datuk. Dr. Abdullah Fadzil Che Wan) pada mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan esok (hari ini),'' katanya lagi.

Kim Hock, 29, mengumumkan persaraan pada September tahun lalu, sejurus merangkul pingat perak Sukan Komanwel XVI kerana mengalami kecederaan bahu.

Persaraan Kim Hock itu menimbulkan kesulitan buat BAM untuk memilih pengganti secocok buat Soon Kit, yang bertukar dua gandingan sejak 10 bulan lalu.

Soon Kit dipasangkan dengan juara Sukan Komanwel, Choong Tan Fook, tetapi pasangan ini gagal menemui keserasian, memaksa Soon Kit menerima gandingan muda, Lee Chee Leong.

Al-Amin menegaskan, meskipun Soon Kit-Kim Hock mempunyai rekod cemerlang pada zaman kegemilangan mereka, tetapi ia bukan tiket yang membolehkan beregu itu secara automatik berada dalam skuad utama negara.

''Seperti pemain lain, Soon Kit-Kim Hock harus membuktikan keupayaan mereka pada penyertaan di kejohanan antarabangsa,'' katanya.

Bagaimanapun beliau yakin, Kim Hock cukup cergas untuk menghadapi persaingan antarabangsa kerana tugas sebagai jurulatih beregu di BAM sememangnya menuntut dia menjadi rakan sparring kepada pemain lain.

Menurut Al-Amin, pasangan itu tidak akan dihantar pada Kejohanan Badminton Asia (ABC) yang berlangsung di Kuala Lumpur pertengahan bulan ini kerana masa yang terlalu suntuk, sebaliknya tugas pertama mereka adalah pada sirkit Eropah, bulan depan.

Antara kejayaan besar yang pernah diraih pasangan Soon Kit-Kim Hock pada zaman kegemilangan mereka adalah meraih pingat perak Sukan Olimpik Atlanta 1996 dan naib juara dunia 1997 di Glasgow.


SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0903&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4SFCPr8No © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan