Ahad, 18 Disember 2016

Selepas kejayaan Roslin di Jepun -- Choong Hann idamkan Gade

ARKIB : 10/04/2000
KEJAYAAN Roslin Hashim menewaskan pemain nombor satu dunia dari Denmark, Peter Gade-Christensen pada suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Jepun minggu lepas seharusnya menjadi pemangkin kepada pemain negara yang lain untuk mengulanginya pada pusingan akhir Piala Thomas di Kuala Lumpur, 11-21 Mei ini .

Antara yang berhasrat untuk menewaskan Gade Christensen ialah pemain nombor satu negara, Wong Choong Hann yang tewas dalam lima daripada enam pertemuan mereka sebelum ini.

''Saya rasa kekalahan ini akan memberi kesan kepada Gade-Christensen. Pastinya dia meletakkan lebih banyak tekanan kepada dirinya sendiri pada perlawanan lain. Ini kadangkala akan memberi kesan ketika dia beraksi,'' kata Choong Hann.

Pemain yang kini menduduki ranking ketiga dunia hanya berjaya sekali menewaskan Gade-Christensen pada separuh akhir Terbuka Denmark tahun lalu.

''Di Terbuka Denmark dulu, Peter (Gade-Christensen) tidak memberi sepenuh tumpuan. Dia masih diganggu kekalahannya pada Kejohanan Dunia. Ia mengambil masa untuknya kembali ke keadaan asal,'' kata Choong Hann.

Menurut pemain kelahiran Kuala Lumpur itu, keadaan yang sama mungkin menghantui Gade-Christensen berikutan kekalahannya kepada Roslin.

''Ia bergantung kepada cara dia mengendalikan kekalahan itu. Sekiranya dia memang telah bersedia untuk menjuarai Terbuka Jepun ini, kekalahan itu boleh menjejaskannya,'' kata pemenang pingat emas Sukan Komanwel itu.

Tetapi menurut Choong Hann, Gade-Christensen merupakan pemain yang matang dan dia mempunyai daya tumpuan yang baik apabila sudah bersedia.

Mengenai pertemuannya dengan pemain itu pada pertandingan Piala Thomas nanti, dia berpendapat peluang adalah 50-50.

''Sekiranya dilihat daripada rekod perlawanan, ia bukan satu tugas yang mudah, tetapi saya juga mempunyai daya tumpuan yang baik untuk menewaskannya,'' tambahnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0410&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4TFutxSLM © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan