Khamis, 22 Disember 2016

Ang Li Peng-Chor Hooi Yee curi tumpuan

ARKIB : 17/05/2000
WALAUPUN gagal membantu Malaysia mencatat sebarang kemenangan dalam pusingan akhir badminton Piala Uber 2000, namun beregu Ang Li Peng-Chor Hooi Yee berjaya mencuri tumpuan di Stadium Putra, Bukit Jalil.

Pasangan negara, yang hanya berkedudukan ke-53 dunia menunjukkan peningkatan dengan mencatat kemenangan mengejut ke atas pasangan Denmark dan Jepun.

Li Peng-Hooi Yee mengutip mata tunggal Malaysia ketika tumpas 1-4 kepada Denmark apabila mengejutkan pasangan ke-10 dunia, Mette Schjoldager Ann-Lou Jorgensen 15-8, 15-1.

Mereka sekali lagi bertindak cemerlang apabila meraih mata penyamaan Malaysia ketika bertemu Jepun, dengan menumpaskan beregu ke-24 dunia, Chikako Nakayama-Naomi Murakami 10-15, 15-11, 17-15.

''Malaysia harus mengenal pasti bahawa kekuatan mereka pada ketika ini adalah dalam acara beregu,'' kata jurulatih Indonesia, Imelda Wigoeno.

''Jadi, jika mereka ingin maju dalam sekurang-kurangnya satu acara... mereka perlu memberi tumpuan lebih kepada acara beregu dan pasangan Ang Li Peng-Chor Hooi Yee,'' katanya lagi.

Sementara itu Hooi Yee, yang merangkul pingat perak Sukan Komanwel bersama Lim Pek Siah berkata, pusingan akhir Piala Uber 2000 merupakan pengalaman paling berharga buat pemain muda negara.

''Saya fikir, kita banyak menunjukkan peningkatan pada pusingan akhir dan kita mungkin boleh melakukan sesuatu pada Sukan SEA akan datang,'' katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0517&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Ta0w3iDF © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan