Khamis, 22 Disember 2016

Skuad negara tiada upaya

ARKIB : 17/05/2000
MALAYSIA mengakhiri cabaran pada Kejohanan Badminton Piala Thomas setelah kalah 4-1 kepada Denmark pada perlawanan penentuan kumpulan A di Stadium Putra di Bukit Jalil, semalam.

Tiket terakhir untuk ke separuh akhir menjadi milik Denmark sebaik beregu keduanya, Jens Eriksen-Jesper Larsen menumpaskan Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock 15-8, 8-15, 15-5 pada perlawanan penentuan yang berlarutan selama 75 minit.

Dengan kemenangan itu, Denmark mengiringi Korea Selatan, China dan Indonesia mara ke separuh akhir setelah berjaya menduduki dua tempat teratas kumpulan A dan B.

Gergasi badminton Eropah itu akan berdepan dengan juara bertahan Indonesia sementara Korea Selatan bertemu China pada perlawanan separuh akhir, Khamis dan Jumaat ini.

Terdahulu, pemain perseorangan pertama negara, Wong Choong Hann gagal menyumbangkan mata setelah tewas 7-15, 6-15 kepada pemain nombor satu dunia, Peter Gade Christensen.

Pemain Denmark berusia 23 tahun itu hanya memerlukan masa 40 minit untuk memperoleh kemenangan keenam daripada tujuh pertemuan dengan Choong Hann.

Kekalahan Choong Hann diselamatkan oleh gandingan Lee Wan Wan-Choong Tan Fook yang menang 15-12, 15-10 kepada Martin Lundgaard Hansen-Lars Paaske selepas bertarung selama 52 minit untuk mengikat kedudukan 1-1.

Ong Ewe Hock yang diharapkan mengutip mata kedua negara gagal melaksanakan tugas itu apabila tumpas kepada pemain veteran berusia 34 tahun, Poul-Erik Hoyer-Larsen.

Pemain kelahiran Pulau Pinang yang cuba menebus kekalahan mengejut ke atas Lee Hyun Ii, pemain bukan pilihan dari Korea Selatan, Jumaat lepas kecundang 17-14, 15-12 untuk membolehkan Denmark mendahului dengan dua mata.

Beregu veteran negara, Soon Kit-Kim Hock yang diharap menewaskan Jesper Larsen-Jens Eriksen untuk mengikat kedudukan dua sama sekadar mampu memaksa perlawanan diteruskan hingga ke set penentuan.

Mereka yang tewas 8-15 pada set pertama bangkit untuk memenangi set kedua 15-8 tetapi gagal meneruskannya pada set ketiga yang berakhir dengan kekalahan 15-5.

Bekas juara Terbuka Indonesia, Yong Hock Kin yang turun pada perlawanan terakhir tewas kepada Kenneth Jonassen 15-6, 14-17, 15-1.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia mengulangi sejarah hitam 1984 ketika mereka gagal mara ke separuh akhir di gelanggang sendiri, ketika itu di Stadium Negara.

Kali terakhir Malaysia gagal ke separuh akhir pada 1996 di Hong Kong, ketika pasukan negara mengalami krisis antara pemain Nusa Mahsuri dengan Persatuan Badminton Malaysia.

Kehadiran kira-kira 16,000 penonton yang turut membawa pelbagai alat bunyian temasuk gendang dan wisel serta sepanduk yang bertujuan menyemarakkan semangat pemain tidak memberi kesan yang diharapkan.

Sementara itu, Korea Selatan menewaskan India 4-1 pada perlawanan kumpulan A sementara Indonesia menjuarai kumpulan B setelah menewaskan China 4-1 dan England menduduki tempat ketiga setelah menewaskan Sweden 4-1.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0517&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Ta0I8Ajs © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan