Jumaat, 2 Disember 2016

Choong, Lee cemerlang

ARKIB : 16/05/1999
COPENHAGEN, Denmark - Malaysia tersingkir semula ke divisyen dua Kejohanan Badminton Piala Sudirman selepas tumpas 4-1 kepada Sweden semalam, sekali pun gandingan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah beraksi cemerlang dengan mengekalkan rekod tanpa kalah mereka.

Bagaimanapun bukan kegagalan skuad negara yang menjadi topik utama pada ketika ini, kerana Malaysia sememangnya tidak mempunyai rekod cemerlang dalam kejohanan berpasukan campuran kerana tidak memiliki barisan skuad wanita yang mantap.

Sebaliknya yang menjadi persoalan kini adakah aksi cemerlang juara Sukan Komanwel, Tan Fook-Wan Wah akan membuka peluang untuk kedua-duanya kembali digandingkan setelah hubungan Tan Fook dan pasangannya sekarang, Cheah Soon Kit masih dingin.

Pada perlawanan semalam, naib juara Kejohanan Badminton Asia itu tetap bersemangat untuk menumpaskan beregu Axelsson-Par-Gunnar Jonsson 9-15, 13-15 walaupun Malaysia sudahpun ketinggalan 4-0.

Tan Fook-Wan Wah turut menyumbang mata tunggal negara ketika tewas 4-1 kepada China dengan menumpaskan Jun Zhang-Wei Zhang dan sekali lagi mengejutkan juara Sukan Olimpik, Ricky Subagja-Rexy Mainaky ketika Malaysia tewas 4-1 kepada Indonesia.

Dalam perlawanan semalam, Sweden mengutip mata pertama menerusi beregu campuran, Peter Axelsson-Marina Andrievskaya yang menundukkan Chew Choon Eng-Ang Li Peng 15-10, 15-13.

Perseorangan wanita negara, Woon Sze Mei gagal memanfaatkan kemenangan 11-9 dalam set pertama, apabila tumpas dua set berikutnya 0-11, 0-11 kepada Margit Borg.

Harapan terbaik yang disandarkan kepada pemain nombor sembilan dunia, Ong Ewe Hock tidak kesampaian apabila naib juara All-England itu tewas straight-set 15-6, 15-5 untuk mengesahkan kemenangan milik Sweden. Sweden mengutip mata keempat menerusi beregu wanita, Anreivskaya-Catrine Bengtsson yang menumpaskan naib juara Sukan Komanwel, Lim Pek Siah-Joanne Quay 15-8, 15-13.

Sementara itu ketua jurulatih kebangsaan, Morten Frost Hansen menyuarakan hasrat untuk tidak menyambung kontraknya dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas ia berakhir.

Bekas pemain nombor satu dunia juara Sukan Olimpik dan juara All-England empat kali itu berkata, dia mengambil keputusan itu kerana mendapati dirinya terlalu kontroversi sepanjang di Malaysia.

''Ia bukan kerana saya tidak gembira atau mempunyai masalah peribadi dalam tugas saya,'' kata Frost, semalam. ''Ia hanyalah pengamatan biasa dalam sukan,'' katanya lagi.

Menurut Frost, dia mungkin tidak akan membabitkan diri dalam badminton selepas kontraknya tamat walaupun mengakui dia pasti akan merindui sukan itu.

KEPUTUSAN
Separuh akhir - Denmark 3 Indonesia 2: Michael Sogaard-Rikke Olsen kk Trikus Heryanto-Minarti Timur 9-15, 15-11, 9-15; Peter Gade kln Tawfik Hidayat 15-4, 15-1; Jens Eriksen-Jesper Larsen kk Tony Gunawan-Candra Wijaya 12-15, 7-15; Camilla Martin kln Cindana Harjono 11-4, 11-6; Olsen-Helene Kirkegaard kln Deyana Zomban-Indarti Isolina 17-16, 15-7.

China 3 Korea Selatan 2: Liu Yong-Ge Fei kln Kim Dong Moon-Ra Kyung-Min 10-15, 15-10, 15-13; Sun Jun kln Ahn Jae Chang 9-15, 15-6, 15-7; Gong Zhichao kk Kim Ji-hyun 9-11, 11-1, 3-11; Zhang Jun-Yu Jinhao kln Lee Dong-Soo-Yoo Yang-Sung 15-3, 15-5; Zhang Ning-Gu Jun kk Ra Kyung-Min-Chung Jaz-Hee 15-8, 12-15, 11-15,

Kumpulan 1 - Sweden 4 MALAYSIA 1: Peter Axelsson-Marina Andrievskaya kln CHEW CHOON ENG-ANG LI PENG 15-10, 15-13; Margit Borg kln WOON SZE MEI 9-11, 11-0, 11-0; Tomas Johansson kln ONG EWE HOCK 15-6, 15-5; Anreivskaya-Catrine Bengtsson kln LIM PEK SIAH-JOANNE QUAY 15-8, 15-13; Axelsson-Par-Gunnar Jonsson kk CHOONG TAN FOOK-LEE WAN WAH 9-15, 13-15.

Kumpulan 2 - England 3 Thailand 2. Kumpulan 3 - Ukraine 4 India 1, Hong Kong 4 Kanada1; Austria 3 Norway 2, Kumpulan 4 - Wales 5 Iceland 0; Belarus 4 Republik Czech 1.

Kumpulan 5 - Portugal 4 Israel 1; Sepanyol 3 Peru 2, Perancis 4 Belgium 1, Kumpulan 6 - Slovakia 5 Brazil 0, Mexico 5 Luxembourg 0, Mauritius 3 Afrika Selatan 2, Kumpulan 7: Estonia 5 Argentina 0. - AFP

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4Rl8weACP © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan