Rabu, 14 Disember 2016

Tiga wakil Malaysia mara ke separuh akhir

ARKIB : 22/01/2000
YONG Hock Kin dan Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock mempamer peningkatan pada Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan apabila melayakkan diri ke separuh akhir perseorangan dan beregu lelaki, semalam.

Turut melengkapkan kemaraan tiga wakil Malaysia di separuh akhir adalah pemain nombor satu negara serta pilihan ketiga, Wong Choong Hann.

Hock Kin, yang mengejutkan penyandang juara, Fung Permadi dalam pusingan ketiga kelmarin, meneruskan kecemerlangan dengan menundukkan Anders Boesen dari Denmark, 15-8, 15-8.

Bagaimanapun laluan sukar menanti bekas perseorangan utama negara itu apabila bakal menentang pemain nombor satu dunia dan pilihan utama, Peter Gade-Christensen di separuh akhir hari ini.

Juara Grand Prix Dunia dan Terbuka Korea dari Denmark, Christensen mara selepas menyingkirkan bintang remaja Indonesia, Taufik Hidayat 15-12, 17-15.

Soon Kit-Kim Hock mencerahkan semula pemburuan mata ke Sukan Olimpik Sydney dengan kemenangan 15-8, 17-14 ke atas pasangan Switzerland, Peter Axelsson-Par-Gunnar Jonsson.

Menanti pemenang pingat perak Olimpik Atlanta 1996 ini adalah pilihan ketujuh dari Denmark, Jens Eriksen-Jesper Larsen.

Choong Hann pula menebus kekalahannya kepada rakan senegara Ismail Saman di suku akhir Terbuka Korea minggu lalu, dengan mencatat kemenangan 15-9, 17-15.

Naib juara Sukan SEA dan Terbuka Malaysia itu akan menentang juara Sukan Olimpik dan pilihan keenam, Poul-Erik Hoyer-Larsen di separuh akhir hari ini.

Sementara itu cabaran negara dalam acara beregu campuran berakhir apabila kedua-dua wakilnya di suku akhir tewas kepada pasangan Indonesia.

Pemenang pingat emas Sukan SEA Brunei, Chew Chun Eng-Chor Hooi Yee gagal untuk memberi saingan baik kepada beregu pilihan kedua, Trikus Heryanto-Minarti Timur apabila tewas mudah 15-3, 15-4.

Pang Cheh Chang-Lim Pek Siah pula kalah 9-15 pada set pertama, sebelum menarik diri pada kedudukan 0-3 apabila Cheh Chang mengalami kecederaan dalam perlawanan dengan Bambang Suprianto-Rosiana Zelin.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4StIM38Oi © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan