Jumaat, 2 Disember 2016

Soon Kit, Tan Fook pasangan terbaik -- BAM akan pastikan gandingan mereka berterusan

ARKIB : 04/05/1999
PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) akan terus berusaha memastikan gandingan Cheah Soon Kit dan Choong Tan Fook kekal bersama sebagai pasangan beregu utama negara.

Presidennya, Datuk Dr. Abdullah Fadzil Che Wan berkata, pasangan itu perlu dipertahankan kerana mereka masih menjadi gandingan terbaik negara berdasarkan kedudukan pemain itu dalam ranking Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF).

''Kita mempunyai pemain pelapis, tetapi mereka masih menjadi beregu terbaik ketika ini dan kekuatan inilah yang perlu dipertahankan bagi memastikan kejayaan program yang dirancang,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian penajaan selama lima tahun bernilai RM4 juta oleh syarikat pembuat tali raket Gosen Co., Ltd dari Jepun di Kuala Lumpur, semalam.

Pada majlis itu, Gosen yang diwakili Presidennya, Kiyoshi Matsuo turut memberi ansuran pertama penajaan kepada Dr. Fadzil berjumlah AS$50,000 (kira-kira RM190,000).

Mengenai kemelut pemain beregu, Dr. Fadzil berkata, kehadiran pasangan Soon Kit dan Tan Fook pada Piala Sudirman tetap penting dari segi strategi.

''Soon Kit masih menjadi pemain yang digeruni di peringkat antarabangsa dan kehadirannya pada pertandingan ini (Piala Sudirman) amat perlu,'' katanya.

Mengenai pembentukan pemain pelapis, Dr. Fadzil berkata, badan induk itu akan kembali mengambil pemain remaja dari usia 13 tahun menyertai akademi badminton apabila keadaan kewangan badan induk itu mengizinkan.

''Ketika ini, kami terpaksa memberhentikan buat seketika pengambilan pemain remaja dari tingkatan satu lebih menumpukan kepada mereka yang berada di tingkatan tiga.

''Tetapi apabila dana meningkat semula, kami akan kembali mencungkil bakat daripada murid-murid yang berada di tingkatan satu,'' katanya.

Menurut Dr. Fadzil, kos yang tinggi iaitu kira-kira RM1,000 sebulan untuk seorang pemain menyebabkan BAM terpaksa mengurangkan pengambilan pemain remaja sejak masalah ekonomi melanda negara.

Dalam perkembangan lain, Tan Fook terpaksa menjalani latihan yang lebih ringan setelah mengalami kecederaan pada tangan kirinya.

Pemain kidal berusia 23 tahun itu mengalami kesakitan pada bahagian atas tangan kirinya akibat pukulan smash yang dilakukannya ketika perlawanan pertunjukan, kelmarin.

''Hanya sakit sikit saja dan saya telah pun mendapatkan rawatan daripada Patricia (Dempsey - pakar terapi sukan) tadi. Keadaan mungkin akan lebih baik esok,'' katanya.


SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0504&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4RgdPDBlZ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan