Rabu, 7 Disember 2016

Ewe Hock tidak disisih

ARKIB : 20/08/1999
ONG Ewe Hock bernasib baik tidak terus disisih pada kejohanan badminton antarabangsa, dan bekas perseorangan utama negara itu berjanji akan menggunakan sepenuhnya peluang beraksi di Terbuka Singapura, minggu depan untuk membuat kebangkitan semula.

Menurut Ewe Hock, disingkir daripada skuad Sukan SEA, atas sebab prestasi adalah pengajaran paling berguna dan dia akan memastikan perkara yang sama tidak berulang.

''Selepas meraih pingat perak pada Sukan SEA 1997, saya amat berharap untuk memperbaiki keputusan di Sukan SEA 1999, tetapi saya tidak berpeluang dan ia amat menyedihkan,'' kata Ewe Hock, semalam.

''Selepas digugurkan... saya rasa seperti peluang mendapat tempat dalam skuad kebangsaan semakin tipis, terutama selepas pemain muda seperti (Wong) Choon Hann, Roslin Hashim dan Jason (Wong) mula menunjukkan peningkatan.

Ewe Hock, 27, yang kerap dibelenggu kecederaan tahun ini, termasuk terpaksa menarik diri di separuh akhir Grand Prix Dunia Akhir di Brunei, Februari lalu diletak sebagai pilihan ketujuh di Singapura.

Pemain Nusa Mahsuri, Rashid Sidek berada dalam pilihan kesembilan, manakala pemenang pingat gangsa Sukan SEA XX, Roslin Hashim dan Jason Wong perlu beraksi pada pusingan kelayakan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0820&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4S8hBKIgJ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan