Selasa, 6 Disember 2016

Terengganu tetap akan beri ganjaran

ARKIB : 06/07/1999
PEMAIN bola sepak Terengganu tetap akan menerima ganjaran sekalipun gagal menjuarai Piala FA setelah tumpas kepada Kuala Lumpur dengan tendangan penalti 5-3 dalam perlawanan akhir di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, kelmarin.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Abdullah Salleh berkata, PBSNT tidak akan melupakan janji-janjinya walaupun hasrat untuk menjadi juara Piala FA buat pertama kali tidak berhasil.

''Kita menghargai keringat setiap pemain yang berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan martabat bola sepak Terengganu,'' katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Abdullah bagaimanapun tidak menyatakan bentuk ganjaran itu sebaliknya berkata, pengurusan pasukan akan mengadakan perbincangan mengenai perkara itu tidak lama lagi.

Beliau berkata, PBSNT akan memberi cuti selama seminggu kepada para pemain sebelum memulakan latihan bagi menghadapi pertandingan kelayakan Piala Malaysia.

Katanya, perlawanan akhir Piala FA itu menjadi satu pengajaran dan peluang kepada pasukan untuk melihat semula kelemahan-kelemahan yang perlu diberikan perhatian.

Ketika mengulas mengenai perlawanan malam tadi, beliau berkata, Terengganu tidak bernasib baik walaupun bermain dengan baik.

Beliau berkata, Terengganu sekarang menyedari bahawa tidak semestinya bermain di tempat dan gelanggang sendiri membolehkan pasukan tuan rumah menjadi juara.

''Tidak semudah yang disangkakan untuk menjadi juara. Ini menjadi satu pengalaman yang amat berguna buat Terengganu pada masa hadapan,'' katanya. - Bernama.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0706&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4S3F3bI8x

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan