Sabtu, 10 Disember 2016

Choon Hann ke suku akhir

ARKIB : 16/10/1999
JUARA Sukan Komanwel, Wong Choon Hann menjadi pemain tunggal Malaysia mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Denmark, selepas tiga lagi wakil negara kandas pada pusingan ketiga dan kedua di Idrates Centre, Vejle, semalam.

Dua lagi perseorangan lelaki negara, Ong Ewe Hock dan Yong Hock Kin serta pasangan veteran, Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock gagal meneruskan kemaraan selepas masing-masing mengalami kekalahan straight-set.

Pilihan kelapan, Choon Hann, yang membuat penampilan sulung selepas muncul naib juara Sukan SEA XX, Ogos lalu menyingkirkan jaguh tuan rumah dan pilihan ketujuh, Peter Rasmussen 15-10, 2-15, 15-8.

Bagaimanapun, kemaraan Choon Hann gagal dituruti oleh perseorangan utama negara dan pilihan keenam, Ewe Hock yang tunduk 6-15, 8-15 kepada seorang lagi jaguh Denmark, Kenneth Jonassen.

Kekalahan Ewe Hock, pemain nombor sembilan dunia merupakan keputusan yang mengecewakan kerana dia diharap mampu meneruskan kecemerlangan selepas muncul naib juara Asia, bulan lalu.

Bekas juara Terbuka Indonesia, Hock Kin terpaksa melupakan pusingan akhir Grand Prix Dunia di Brunei selepas gagal melayakkan diri sekurang-kurangnya ke separuh akhir.

Bintang remaja Indonesia dan pemain nombor tiga dunia, Taufik Hidayat nyata terlalu unggul buat bekas perseorangan utama negara itu apabila menang mudah 15-6, 15-2.

Laluan Soon Kit-Kim Hock untuk mengutip mata kelayakan ke Sukan Olimpik di Sydney tahun depan semakin sukar, selepas tunduk kepada pilihan keempat dari Denmark, Jens Eriksen-Jesper Larsen.

Soon Kit-Kim Hock, yang mara ke separuh akhir pada penampilan sulung di Kejohanan ABC bulan lalu, tewas 9-15, 11-15.

Choon Hann, naib juara Terbuka Malaysia bakal berdepan tugas sukar apabila menentang juara baru Terbuka Singapura, Heryanto Arbi dari Indonesia pada suku akhir hari ini.

Heryanto mara selepas menyingkirkan Tomas Johansson dari Denmark 15-9, 14-17, 15-3. Turut layak ke suku akhir termasuklah pemain nombor satu dunia, Sun Jun dari China dan juara bertahan, Peter Gade Christensen dari Denmark.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1016&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4SRwu1xdO © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan