Rabu, 21 Disember 2016

Permainan Roslin menakutkan lawan - Taufik

ARKIB : 08/05/2000
ROSLIN Hashim mampu menjadi senjata utama Malaysia sekiranya diturunkan sebagai perseorangan ketiga pada pusingan akhir Kejohanan Badminton Piala Thomas 2000 11-21 Mei ini, kata perseorangan kedua Indonesia, Taufik Hidayat.

Katanya, walaupun perseorangan negara itu tidak mempamer permainan konsisten tetapi dia menunjukkan peningkatan mendadak setiap kali tiba sesuatu kejohanan penting.

Permainan tidak menentu Roslin itu menyukarkan lawan untuk mencongak strategi, terutama apabila mendapati perlawanan berkenaan berpotensi untuk ditentukan menerusi perseorangan ketiga.

''Pencapaian Roslin memang tidak cukup membanggakan untuk menakutkan pemain lawan,'' kata juara Sukan SEA itu setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam.

''Bagaimanapun, persembahannya di Terbuka Jepun bulan lalu cukup untuk menarik tumpuan. Dia menunjukkan peningkatan tepat pada masanya ketika Piala Thomas sudah semakin hampir,'' katanya lagi.

Roslin, 25, menumpaskan juara dunia dari China, Sun Jun, naib juara dunia Fung Permadi dari Taiwan serta pemain nombor satu dunia dari Denmark, Peter Gade-Christensen dalam laluan ke suku akhir.

Namun begitu, perseorangan Nusa Mahsuri itu gagal mara ke separuh akhir apabila tunduk kepada perseorangan utama Indonesia, Hendrawan di suku akhir.

Sementara itu, Taufik menganggap Denmark dan Malaysia lebih berbahaya berbanding China kerana kedua-kedua negara membariskan pemain yang kebanyakannya pernah beraksi di pusingan akhir Piala Thomas.

Menurut Taufik, China nampak mantap dengan membariskan juara Seluruh England serta Terbuka Switzerland, Xia Xuanzhe sebagai perseorangan utama, manakala juara Terbuka Jepun serta juara Kejohanan Asia, Ji Xinpeng dan Chen Hong sebagai perseorangan kedua dan ketiga.

Bagaimanapun, hanya juara dunia, Sun Jun, yang tidak menghadapi masalah kemerosotan permainan ketika ini dan Luo Yigang mempunyai pengalaman beraksi di pusingan akhir.

''Saya juga merupakan pendatang baru dalam Piala Thomas dan sedar betapa gementar beraksi buat kali pertama,'' kata Taufik.

''Walaupun pernah bermain dalam beberapa kejohanan berpasukan seperti Sukan Asia dan Sukan SEA tetapi pertandingan berbeza menghadirkan suasana berbeza dan saya nampak di sinilah kelemahan China,'' katanya lagi.

Taufik mengakui, dia tidak mempunyai peluang yang cerah apabila berdepan Xuanzhe yang memegang rekod kemenangan 2-1. ''Saya tewas dalam kedua-dua perlawanan terakhir di Seluruh England dan Terbuka Switzerland.'

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0508&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4TShvuWRX © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan