Isnin, 19 Disember 2016

Rashid ketuai pasukan negara

ARKIB : 25/04/2000
PEMAIN perseorangan negara, Rashid Sidek dipilih sebagai ketua pasukan negara ke Kejohanan Badminton Piala Thomas-Uber 2000 yang akan berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil 11-21 Mei ini.

Rashid, 32, yang mempunyai pengalaman beraksi dalam enam Kejohanan Piala Thomas sejak 1986 sebelum ini dipilih berdasarkan undian oleh pemain menewaskan Cheah Soon Kit yang turut dicalonkan.

''Ini merupakan kali pertama saya dipilih sebagai ketua pasukan.

''Ia merupakan satu penghormatan dan juga satu tanggungjawab besar,'' kata Rashid yang ditemui selepas menjalani latihan pertama di Stadium Putra, Bukit Jalil, semalam.

Menurut Rashid, dia merupakan pemain kedua dalam keluarga Datuk Sidek yang dipilih sebagai ketua pasukan setelah Razif yang mengetuai skuad 1992 yang berjaya merampas semula Piala Thomas selepas 25 tahun.

Menurut pemain Nusa Mahsuri itu, sebagai ketua pasukan dia menjadi orang tengah dalam mengemukakan masalah dan keperluan pemain kepada pihak pengurusan.

''Sekiranya berlaku sebarang masalah, mereka memaklumkannya kepada saya dan saya akan membawa perkara itu kepada pengurusan untuk tindakan lanjut,'' ujarnya.

Selain daripada sebagai pengantara, ketua pasukan juga memikul tanggungjawab memberi semangat kepada pemain-pemain lain dalam skuad itu.

Mengenai latihan pertama di gelanggang sebenar pertandingan semalam, Rashid berkata, keadaan di Stadium Putra lebih baik daripada di Stadium Negara yang digunakan pada Kejohanan Piala Thomas-Uber 1992.

''Di Stadium Negara dulu, sebarang perubahan cuaca di luar stadium turut mempengaruhi keadaan di dalam stadium terutama sekiranya berlaku hujan lebat atau angin kencang, angin itu boleh masuk ke dalam dan ia boleh mengganggu permainan,'' ujarnya.

Menurut Rashid lagi, kedudukannya sebagai perseorangan kedua ataupun ketiga semasa pertandingan itu tidak penting kerana apa yang diinginkannya adalah untuk mempamerkan yang terbaik pada pertandingan Piala Thomas yang terakhir bagi dirinya.

Sementara itu, jurulatih Nusa Mahsuri, Misbun Sidek memaklumkan bahawa pendingin di stadium dipasang semasa latihan pertama, semalam. ''Pendingin hawa ini terpaksa di pasang untuk mengelakkan lantai yang baru dipasang merekah,'' ujarnya.

Oleh: SRY ANGRENI MOHD. ZET

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0425&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4TKsIayYb © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan