Selasa, 6 Disember 2016

Rashid ke separuh akhir

ARKIB : 10/07/1999
BEKAS pemain nombor satu negara, Rashid Sidek terus mempamerkan kebangkitan meyakinkan apabila mara ke separuh akhir Badminton Terbuka Thailand dengan menumbangkan juara Sukan Asia, Dong Jiong.

Rashid, 31, membenam Dong, pilihan kelima-kelapan dari China 15-10, 6-15, 15-7 pada suku akhir perseorangan lelaki di Gimnasium Nimibut, Bangkok, semalam.

Menanti pemain kelab Nusa Mahsuri pada separuh akhir hari ini ialah seorang lagi pemain China, Ji Xinpeng yang turut mencipta kejutan ke atas rakan senegaranya, Sun Jun.

Malangnya, jejak Rashid tidak mampu dituruti oleh beregu lelaki tunggal negara, Rosman Razak-Chew Choong Eng yang tewas pada suku akhir di tangan Michael Soogard-Jim Laugesen dari Denmark 6-15, 15-5, 4-15.

Ji menjinakkan Sun, juara dunia yang juga pilihan utama kejohanan, 17-15, 15-7 dalam satu lagi perlawanan suku akhir.

Dalam pada itu, China juga sudah pasti mempunyai sekurang-kurangnya seorang wakil pada perlawanan akhir esok.

Ini ekoran kemaraan dua lagi pemainnya ke separuh akhir - Chen Gang dan Chen Hong.

Suku akhir semalam menyaksikan Chen Gang menewaskan rakan senegara, Chen Wei 15-9, 15-11 sementara Chen Hong menang ke atas Xia Xuanze 15-9, 15-10.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0710&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_10.htm#ixzz4S3SfSl3c © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan