Isnin, 12 Disember 2016

BADMINTON PIALA ASIA -- Malaysia naib juara

ARKIB : 15/11/1999
MALAYSIA pulang selaku naib juara Kejohanan Badminton Piala Asia setelah tewas 3-0 kepada juara bertahan, Indonesia pada perlawanan akhir di Bandar Raya Ho Chi Minh, Vietnam, semalam.

Kekalahan itu merupakan yang kedua dengan Indonesia setelah bertemu pasukan tersebut pada perlawanan peringkat kumpulan, sebelum ini.

Pemain muda Indonesia yang juga memenang pingat emas Sukan SEA, Taufik Hidayat memperoleh mata pertama Indonesia setelah menang mudah ke atas Jason Wong 15-4, 15-0.

Indonesia mengesahkan kemenangan mereka setelah pasangan nombor dua dunia, Tony Gunawan dan Chandra Wijaya menumpaskan Rosman Razak-Chew Chun Eng 15-7, 15-9.

H. Hendrawan memastikan kemenangan Indonesia setelah menewaskan Ismail Saman 15-5, 15-6.

Dengan kemenangan itu, Indonesia merangkul hadiah wang tunai AS$50,000 (RM190,000) sementara Malaysia selaku naib juara membawa pulang AS$25,000 (RM95,000) daripada kejohanan bernilai AS$100,000 (RM380,000).

Korea Selatan menduduki tempat ketiga setelah menewaskan China 2-1.

Terdahulu, Malaysia melangkah ke pusingan akhir setelah menumpaskan Korea Selatan 2-1 sementara Indonesia menang 3-0 ke atas China.

Pertemuan akhir semalam mengulangi pertemuan Piala Asia 1997 yang dimenangi Indonesia. Indonesia juga mengalahkan Malaysia pada perlawanan akhir Piala Thomas 1998.

Kali terakhir Malaysia mengalahkan Indonesia dalam acara akhir berpasukan ialah pada Piala Thomas 1992.

Keputusan: Akhir - Indonesia kln MALAYSIA 3-0 - Taufik Hidayat (Ina) kln Jason Wong (Mas) 15-4, 15-0; Tony Gunawan/Candra Wijaya (Ina) kln Rosman Razak/Chew Chun Eng (Mas) 15-7, 15-9; H. Hendrawan kln Ismail Saman (Mas) 15-5, 15-6.

Tempat ketiga - Korea kln China 2-1 - Ahn Jae Chang (Kor) kln Sun Jun (Chn) 15-2, 5-0 (berhenti); Kim Dong Moon/Ha Tae Kwon (Kor) kln Yu Jin Hao/Zhang Jun (Chn) 15-3, 15-3; Cheng Hong (Chn) kln Park Tae Sang 12-15, 15-7, 15-13.

Separuh Akhir - Indonesia kln China 3-0 _ Taufik Hidayat (Ina) kln Sun Jun (Chn) 15-12, 15-14; Tony Gunawan/Candra Wijaya (Ina) kln Yu Jin Hao/Zhang Jun (Chn) 15-4, 15-6; Hendrawan (Ina) kln Cheng Hong (Chn) 15-7, 15-4; Malaysia kln Korea 2-1 _ Jason Wong (Mas) kln Ahn Jae Chang (Kor) 15-12, 2-15, 15-4; Kim Dong Moon/Ha Tae Kwon (Kor) kln Rosman Razak/Chew Chun Eng (Mas) 15-10, 15-5; Ismail Saman (Mas) kln Park Tae Sang (Kor) 15-12, 15-10.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Sdr30pgt © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan