Jumaat, 16 Disember 2016

Badminton Satelit Malaysia 2000 -- James, Fen juara

ARKIB : 06/03/2000
KEGAGALAN melakukan penyudah yang baik menyaksikan pemain pelapis negara, Ramesh Nathan terlepas peluang muncul juara buat kali keenam dan ini sekali gus membolehkan James Chua menjuarai Kejohanan Badminton Satelit Malaysia buat kali kedua di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras, semalam.

Ramesh, 23, yang menewaskan pemain pilihan kedua, Yap Yong Jyen di separuh akhir kelmarin bermula baik dengan mendahului 10-5, 14-6 sebelum mengakhiri set pertama dengan 15-11.

James yang menjuarai kejohanan itu dua tahun lalu di Ipoh bagaimanpun bangkit pada set kedua dan berjaya mendahului dengan 5-2 sebelum menang 15-4 bagi memaksa perlawanan di teruskan hingga ke set penentuan.

Set penentuan yang sengit menyaksikan Ramesh mendahului 5-0, tetapi James berjaya mengutip empat mata berturut-turut untuk mengikat kedudukan 5-4.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu berjaya bangkit untuk kembali di depan dengan 9-5 dan kemudian 12-5, tetapi James sekali lagi bangkit corak permainan rali untuk megutip empat mata dan mengikat kedudukan 12-9 kemudian 13-10 sebelum Ramesh memperoleh mata ke-14.

Namun bagaikan satu badi, Ramesh gagal mencari mara terakhir dan membenarkan James mengutip enam mata berturut- turut untuk mengikat kedudukan 14-16 sebelum pemain kelahiran Sarawak itu memastikan kejuaraan menjadi miliknya dengan mata kemenangan 17-14 sekali gus membawa pulang wang kemenangan RM2,000.

''Ini kali ketiga saya kalah kepada James di pusingan akhir dan kali keenam mara ke akhir, tetapi gagal menyudahkannya dengan kemenangan,'' katanya yang kelihatan hampir tidak percaya dengan kekalahan itu setelah bertarung selama kira- kira 70 minit.

Sementara itu, James mengakui tindakannya menukar corak permainan di pertengahan set ketiga menjadi faktor membantu kemenangannya itu.

''Saya terpaksa menukar corak permainan kepada rali kerana kami saling mengetahui corak permainan masing-masing. Saya gembira dia mendatangkan hasil,'' katanya yang meletakkan sasaran menduduki ranking ke-15 dunia tahun ini.

Terdahulu, pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) gandingan Pang Cheh Chang-Lim Pek Siah menjuarai kategori beregu campuran setelah menumpaskan rakan sepasukan, Lee Chee Leong-Fong Chew Yen 15-7, 15-5 dalam perlawanan yang berlangsung kira-kira 20 minit.

Ng Mee Fen juga menepati ramalan apabila muncul juara kategori perseorangan wanita setelah menewaskan pemain pilihan kedua yang juga juara bertahan, Woon Sze Mei, 11-6, 11-5.

Dalam satu lagi perlawanan, gandingan Chor Hooi Yee-Ang Li Peng mempertahankan kedudukan sebagai naib juara setelah tumpas 15-9, 11-15, 6-15 kepada Lim Pek Siah-Joanne Quay yang membawa pulang wang kemenangan berjumlah RM1,800.

Gandingan Chee Leong-Cheh Chang muncul juara beregu lelaki setelah menumpaskan rakan sepasukan dari BAM, Charles Khoo- Khoo Kok Kheng 15-5, 4-15, 15-7.
KEPUTUSAN (Akhir)
LELAKI: Perseorangan - James Chua (MAS) kln Ramesh Nathan (MAS) 11-15, 15-4, 17-14; Beregu - Pang Cheh Chang/Lee Chee Leong (MAS) kln Charles Khoo/Khoo Kok Kheng (MAS) 15-5, 4-15, 15-7.
WANITA: Perseorangan - Ng Mee Fen (MAS) kln Woon Sze Mei (MAS) 11-6, 11-5; Beregu - Lim Pek Siah/Joanne Quay (MAS) kln Chor Hooi Yee/Ang Li Peng (MAS) 9-15, 15-11, 15-6 .
Beregu campuran: Pang Cheh Chang/Lim Pek Siah (MAS) kln Lee Chee Leong/Fong Chew Yen (MAS) 15-7, 15-4.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4T42PYSAL © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan