Sabtu, 17 Disember 2016

Ong, Hock Kin mara

ARKIB : 10/03/2000
BIRMINGHAM, England - Bekas perseorangan utama negara, Ong Ewe Hock dan Yong Hock Kin meneruskan cabaran negara pada Kejohanan Badminton Seluruh England apabila melepasi pusingan kedua masing-masing di sini, semalam.

Ewe Hock, naib juara kejohanan dua tahun lalu, langsung tidak tercabar ketika mencatat kemenangan mudah 15-5, 15-1 ke atas pemain muda Indonesia, Johan Hadikusuma.

Pilihan kesembilan dan naib juara Kejohanan ABC itu bagaimanapun bakal berdepan laluan sukar di pusingan ketiga hari ini apabila dijangka menentang naib juara dunia dan pemain ranking ke-10, Fung Permadi dari Taiwan.

Bekas pemain nombor dua dunia, Hock Kin pula mencerahkan peluang untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Sydney 2000, apabila menang straight set 15-9, 15-5 ke atas pemain Perancis Betrand Gallet.

Hock Kin, ranking ke-18 dunia dan pilihan ke-15 kejohanan kini akan berdepan pemain muda China dan pilihan kelapan, Ji Xinpen pada pusingan seterusnya.

Ji, pemain nombor 11 dunia mara setelah melepasi halangan pemain tidak ternama dari Austria, Juergen Koch 17-15, 15-4 pada pusingan kedua.

Dalam perlawanan lain, pilihan utama, Peter Gade-Christensen dari Denmark nyaris dikejutkan pemain remaja Thailand, Boonsak Polsana sebelum menang 13-15, 15-12, 15-4.

Gade, pemain nombor satu dunia dan penyandang juara dipaksa berhempas-pulas lebih satu jam untuk melepasi halangan Polsana, 18, ranking ke-35 dunia.

Seorang lagi pemain pilihan, Budi Santoso dari Indonesia turut dipaksa bekerja keras sebelum menumpaskan pemain tidak ternama dari India, Sidharth Jain 13-15, 15-11, 15-7.

Gade akan menentang Budi, pilihan ke-10 kejohanan dalam perlawanan pusingan kedua hari ini.

Sementara itu, pemain Nusa Mahsuri, Roslin Hashim dan bekas juara beregu remaja dunia, Chan Chong Ming-Jeremy Gan terkeluar seawal pusingan pertama.

Roslin yang masih gagal menemui sentuhannya setelah muncul juara Terbuka Belanda dua tahun lalu tewas mengejut kepada pemain yang terpaksa melalui pusingan kelayakan, Kazuhiro Shimogami dari Jepun.

Anak didik Misbun Sidek itu tewas 16-17, 15-9, 7-15 dan kekalahan itu pastinya menggugat peluang pemain berusia 25 tahun itu untuk merebut tempat sebagai pemain perseorangan ketiga pada pusingan akhir Kejohanan Piala Thomas-Uber, Mei depan.

Begitu juga peluang untuk gandingan Chong Ming-Jeremy merebut tiket ketiga ke Sukan Olimpik Sydney, September depan semakin tipis setelah kecundang di tangan beregu Thailand, Tesana Panvisvas dan Pramote Teerawiwatana.

Chong Ming dan Jeremy tewas 15-11, 11-15, 8-15 selepas bertarung selama 61 minit.

Kekalahan Chong Ming-Jeremy membuka peluang kepada beregu veteran negara, gandingan Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock untuk merebut tiket ketiga ke Sukan Olimpik sekiranya berjaya menduduki 16 tempat teratas ranking dunia.

Pasangan itu bermula baik dengan menempah tiket ke pusingan kedua setelah menewaskan Oliver Fossey dan Sydney Lengagne dari Perancis 15-5, 15-0

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0310&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4T6PW3Jsa © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan