Isnin, 19 Disember 2016

Kim Hock sedia berkorban


 

ARKIB : 26/04/2000
SEBAHAGIAN anggota skuad badminton Piala Thomas negara berehat dengan mengapungkan badan mereka di kolam renang selepas menamatkan sesi latihan sebelah pagi di Stadium Putra, Bukit Jalil, semalam.

PEMAIN beregu Yap Kim Hock tidak bersedia untuk digugurkan daripada skuad Piala Thomas dan mahu membantu negara merampas semula piala keagungan itu pada Kejohanan Badminton Piala Thomas-Uber 2000 di Stadium Putra Bukit Jalil 11-21 Mei ini.

Walaupun masih dibelenggu masalah kecederaan betis kiri, namun pemain yang pernah mengambil keputusan bersara selepas Sukan Komanwel 1998 tetap yakin akan sembuh sepenuhnya menjelang kejohanan berpasukan itu.

''Saya tetap mahu main. Ini merupakan kali terakhir saya akan beraksi pada kejohanan seperti ini,'' katanya dengan penuh harapan.

Pemain kelahiran Muar berusia 29 tahun itu kini menghadapi kemungkinan digugurkan daripada senarai skuad Piala Thomas sekiranya laporan doktor menunjukkan dia tidak mungkin dapat beraksi pada kejohanan itu.

Namun pemain yang menarik balik keputusan untuk bersara tahun lalu berpuas hati dengan peningkatan latihan yang dijalankan sehingga semalam.

''Hari ini (semalam) saya berlatih lebih keras berbanding semalam. Sekiranya ini berterusan, saya pasti bersedia untuk kejohanan Piala Thomas ini tetapi saya tidak boleh paksa diri untuk pulih terlalu cepat,'' ujarnya.

Pemain itu kini berlatih bersendirian dengan Rosman Razak dan Hong Choon Hun menjadi rakan sepelatihnya sementara pasangannya, Cheah Soon Kit sedang digandingkan dengan Chan Chong Ming.

Sementara itu, jurulatih beregu negara, Park Joo-bong mengakui Kim Hock masih belum boleh menjalani latihan keras seperti pemain-pemain lain.

Mengenai kedudukan Kim Hock, Joo-bong berkata, perkara itu perlu dibincangkan secara serius kerana sebarang keputusan yang diambil penting dalam usaha menjuarai kejohanan itu.

''Saya tidak boleh membuat keputusan. Besok (hari ini) akan ada perbincangan mengenai barisan pemain yang pemain Piala Thomas dan Uber sebelum senarai ini diserahkan kepada IBF (Persekutuan Badminton Antarabangsa),'' ujarnya.

Menurut Joo-bong, hanya Kim Hock yang mengetahui sama ada dia benar-benar berkemampuan untuk beraksi.

''Dia mungkin akan pulih sebelum kejohanan berlangsung, tetapi ia bergantung kepada pemain itu kerana dia yang mengalami kecederaan dan dia juga yang mengetahui sama ada dia bersedia atau tidak untuk memikul tanggungjawab sebagai pemain,'' ujarnya.

Dalam perkembangan yang sama, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Dr. Abdullah Fadzil Che Wan enggan mengulas mengenai kedudukan Kin Hock itu. ''Tarik akhir untuk mengemukakan senarai pemain adalah esok (hari ini).

''Sebarang perubahan jika ada akan diputuskan esok (hari ini),'' katanya yang ditemui pada majlis pelancran Kempen Patriotik Piala Thomas di Petaling Jaya, semalam.

Oleh: SRY ANGRENI MOHD. ZET

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0426&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4TL9B2kWr © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan