Rabu, 21 Disember 2016

Malaysia akur kehebatan Denmark


 

ARKIB : 12/05/2000
Malaysia akur kehebatan Denmark
BEREGU negara, Lim Pek Siah (kiri) dan Joanne Quay membalas pukulan lawan ketika menentang beregu Denmark, Helena Kirkegaard/Rikke Olsen pada Kejohanan Badminton Piala Uber di Stadium Putra, Bukit Jalil, semalam. Pasangan negara tewas 9-15, 4-15.

JUARA Eropah, Denmark melepaskan satu mata kepada pasukan tuan rumah, Malaysia untuk skuad pilihan itu menang 4-1 pada perlawanan pertama Kejohanan Badminton Piala Uber kumpulan merah jambu, manakala Indonesia mengejutkan Jepun 3-2 pada satu lagi perlawanan kumpulan sama di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.

Kecuali gandingan beregu kedua, Ang Li Peng-Chor Hooi Yee, pemain lain negara gagal mencuri mata daripada pemain Denmark yang mara ke perlawanan akhir selain China.

Selepas Ng Mee Fen tewas 11-0, 11-4 kepada pemain nombor satu dunia, Camilla Martin, Lim Pek Siah-Joanna Quay memberikan tentangan hebat kepada beregu nombor lima dunia, Helene Kirkegaard-Rikke Olsen tewas 15-9, 15-5.

Perseorangan kedua negara, Wong Miew Kheng berusaha menyaingi kehebatan Mette Sorensen namun selepas kalah 11-9 pada set pertama, pemain berusia 21 tahun itu lesu pada set kedua dan tumpas 11-1.

Malaysia mendapatkan mata tunggal apabila Ang Li Peng-Chor Hooi Yee bermain cemerlang untuk menang 15-8, 15-6 ke atas gandingan Ann-Lou Jorgensen-Mette Schjoldager.

Denmark melengkapkan kemenangan mereka menerusi kemenangan Mette Pedersen 11-3, 11-4 ke atas Woon Sze Mei.

Pengurus pasukan Piala Uber negara, Lim Teong Kiat berkata, skuad negara sudah menjangka akan kalah dan sasaran mereka pada kejohanan pertama alaf baru ini sekadar untuk menimba pengalaman.

''Camilla terlalu kuat untuk Mee Fen dan begitu juga dengan pemain-pemain lain mereka. Pemain-pemain kita masih terlalu muda berbanding pemain-pemain Denmark yang jauh lebih berpengalaman," ujarnya.

''Bagaimanapun saya bangga kerana beregu pertama negara berjaya memberikan tentangan sengit dan saya gembira dengan persembahan mereka,'' katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4TT119EzQ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan