Rabu, 14 Disember 2016

Badminton Terbuka Korea -- Rashid akur Peter Gade lebih pantas

RKIB : 17/01/2000
Juara Grand Prix akhir 1999 itu meraih habuan lumayan sebanyak AS$20,000 (RM76,000) sementara Rashid yang terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara membawa pulang AS$10,000 (RM38,000).

Rashid yang tidak menduga berpeluang mara ke akhir kejohanan bertaraf enam bintang bernilai AS$250,000 (RM950,000) terpaksa akur dengan permainan pantas pemain yang kira-kira sembilan tahun lebih muda daripadanya itu.

Pemain yang kali terakhir muncul naib juara pada Terbuka Taiwan tahun lalu itu kecundang 3-15, 11-15 dalam masa 31 minit.

''Saya agak tertekan tadi (semalam) kerana dia bermain terlalu pantas. Saya sukar mengikuti rentaknya terutama pada set pertama.

''Kepantasannya itu menyebabkan saya hanya mampu mengutip tiga mata pada set pertama ini,'' katanya yang dihubungi di Korea, semalam.

Menurut Rashid, dia mula mendapat rentak pada set kedua dan berjaya mendahului lawannya 6-2 dan 10-7 pada suatu ketika.

Namun dalam usia yang menghampiri 32 tahun dan berdepan dengan pemain seumur 23 tahun, Peter Gade Christensen menggunakan kepantasannya untuk mendahului 12-10 sebelum memastikan kejuaraan menjadi miliknya dengan memenangi set kedua 15-11.

''Saya agak kecewa kerana tidak mampu menggunakan sepenuhnya peluang yang ada,'' ujar Rashid yang akan berlepas ke Taiwan hari ini untuk kejohanan keduanya tahun ini.

Walaupun sekadar muncul naib juara, namum Rashid tetap puas kerana berdepan dengan Gade Christensen di pusingan akhir.

Mengenai peluangnya di Terbuka Taiwan, Rashid mengakui sukar untuknya mempertahan kedudukan selaku naib juara.

''Persaingan di sana tetap sukar seperti di sini (Korea) kerana kebanyakan pemain yang beraksi di Korea akan ke sana.

''Ia bertambah sukar kerana Indonesia turut menghantar lebih banyak pemain berbanding di Korea ini,'' ujarnya.

Sementara itu, beregu tuan rumah, Lee Dong-soo-Yoo Yong-sung muncul juara setelah menewaskan pasangan veteran Indoensia, Ricky Subagja-Rexy Mainaky 15-8, 9-15, 15-4.

Beregu Korea itu mara ke akhir setelah menewaskan pilihan kedua kejohanan yang juga pasangan nombor satu Indonesia, Candra Wijaya-Tony Gunawan 15-7, 8-15, 17-14 di separuh akhir, kelmarin.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4SsHdzGeD © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan