Khamis, 15 Disember 2016

Impian Wong Choong Hann tidak kesampaian -- Badminton Terbuka Taiwan: Beregu veteran negara turut kalah

ARKIB : 24/01/2000
IMPIAN Wong Choong Hann untuk merangkul gelaran pertamanya di alaf baru berkecai apabila dia ditewaskan oleh pemain Denmark, Peter Gade Christensen pada perlawanan akhir perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan di Pusat Sukan Bandaraya Taipei, semalam.

Choong Hann, pemenang pingat emas Sukan Komanwel Kuala Lumpur, dua tahun lalu sebelum ini memberi aksi terbaiknya pada separuh akhir kelmarin dengan menundukkan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Atlanta, Poul Erik Hoyer-Larsen 15-13, 5-15 dan 15-13.

Pertemuan tiga set di separuh akhir itu nyata memenatkan Choong Hann yang terpaksa menyerahkan mahkota juara kepada Gade Christensen.

Pemain Denmark itu yang berada di tangga nombor satu dunia dan baru dimahkotakan juara Terbuka Korea minggu lalu, mencatat kemenangan mudah straight set dengan 15-9 dan 15-5.

''Secara keseluruhannya saya puas hati dengan tahap permainan, tetapi Gade-Christensen berjaya memberi tekanan kepada saya sejak awal permainan lain. Pukulannya juga memang sukar dipatahkan,'' kata Choong Hann ketika dihubungi, semalam.

Dalam pada itu, Malaysia yang mempertaruhkan gandingan veteran Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock turut gagal merebut gelaran apabila kecundang straight set kepada pasangan nombor satu dunia dari Indonesia, Chandra Widjaya dan Tony Gunawan.

Soon Kit-Kim Hock gagal menyaingi kehebatan beregu Indonesia itu dan tunduk pada set pertama dengan 7-15.

Mereka cuba bangkit pada set kedua, tetapi ternyata corak permainan pantas yang digunakan pasangan Widjaya-Gunawan itu sukar disekat apabila lawan menutup tirai cabaran dengan jumlah mata yang sama.

Soon Kit-Kim Hock sebelum ini menyingkirkan gandingan Denmark, Jens Erikssen-Jesper Larsen pada separuh akhir dengan kemenangan mudah 15-3 dan 15-7.

Kekalahan di pertemuan akhir ini menjejaskan sedikit peluang beregu veteran negara itu untuk menempah tiket ke Sukan Olimpik di Sydney, September ini.

''Saya sendiri belum dapat menjangkakan tentang cabaran yang bakal diterima pada kejohanan lain, tetapi yang pasti kami diberi tentangan hebat di Taiwan,'' kata Soon Kit.

Bagaimanapun, Soon Kit-Kim Hock masih mampu merebut tempat itu jika berjaya mara ke perlawanan akhir pada beberapa lagi kejohanan yang diiktiraf Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) untuk persaingan kelayakan.

Antara kejohanan terbabit ialah Terbuka Switzerland dan Kejohanan All-England pada Mac, serta Terbuka Jepun yang dijadualkan pada April.

Soon Kit-Kim juga perlu berada dalam kelompok 16 pasangan terbaik jika ingin meneruskan impian di Sukan Olimpik Sydney.

KEPUTUSAN AKHIR:
Perseorangan lelaki - Peter Gade Christensen (DEN) kln WONG CHOON HANN 15-9, 15-5

Beregu lelaki - Chandra Widjaya/Tony Gunawan (INA) kln CHEAH SOON KIT/YAP KIM HOCK 15-7, 15-7.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4StVNWjsD © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan