Khamis, 8 Disember 2016

Ewe Hock antara 10 pemain teratas

ARKIB : 18/09/1999
NAIB juara Seluruh England tahun lalu, Ong Ewe Hock kembali menduduki senarai 10 teratas dunia dalam ranking terbaru Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) yang dikeluarkan semalam.

Walaupun tidak mendapat mata berbanding ranking minggu lepas, Ewe Hock naik tangga ke-10, bagaimanapun rakan sepasukannya, Wong Choon Hann yang tidak beraksi pada Kejohanan Badminton Asia (ABC)-JVC yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur, jatuh dua anak tangga di kedudukan ke-12.

Kedudukan mata pemain kelab Nusa Mahsuri, Rashid Sidek turut susut kepada 1.43, tetapi dia masih berupaya naik tangga ke-15, manakala rakan sekelab Roslin Hashim jatuh dua anak tangga ke kedudukan ke-21.

Yong Hock Kin kekal tangga ke-25, manakala pemain remaja Yap Yong Jyen jatuh dua anak tangga ke kedudukan ke-33.

Tiada perubahan besar dalam kedudukan lima anak tangga teratas dengan pemain China, Sun Jun, yang tidak menyertai Kejohanan Asia masih menduduki tangga pertama diikuti oleh Peter Gade Christensen dari Denmark, Taufik Hidayat dari Indonesia dan Fung Permadi dari Taiwan.

Dalam beregu lelaki, pasukan utama Malaysia Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah, yang juga tidak beraksi dalam Kejohanan Asia itu kekal di tangga ke-14, dan Chan Chong Ming dan Jeremy Gan di tangga ke-18.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0918&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4SGMVY7C2 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan