Selasa, 13 Disember 2016

Tuah belum sebelahi kita


 

ARKIB : 07/12/1999
GANDINGAN mantap pasangan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah berjaya menewaskan beregu nombor satu dunia, Ha Tae Kwon-Kim Dong Moon dari Korea Selatan. Bagaimanapun, pengalaman dan taktik permainan menghalang pasangan muda negara itu untuk melakar sejarah apabila tumpas kepada beregu nombor dua dunia dari Indonesia, Chandra Wijaya-Tony Gunawan pada separuh akhir.

GRAND Prix Badminton Dunia Akhir edisi ke-17 yang menutup tirainya di Stadium Tertutup Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, kelmarin terus memperlihatkan betapa nasib tidak menyebelahi pemain-pemain negara sepanjang 1999.

Malaysia terus terlepas kejuaraan yang sebenarnya sudah dihampiri untuk tahun keempat berturut-turut, tambah mengecewakan tiada seorangpun pemain berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir.

Senario ini turut menyelubungi pemain-pemain negara pada beberapa kejohanan besar sepanjang tahun ini, walaupun mempamer aksi baik, tetapi elemen tuah terus menidakkan mereka untuk memiliki koleksi kejuaraan.

Kecuali kejuaraan Terbuka Singapura yang diraih beregu utama negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah, tidak banyak kejayaan membanggakan dicipta pemain Malaysia musim ini.

Perseorangan nombor satu negara, Wong Choon Hann pula berjaya mempertontonkan permainan hebat pada setiap kejohanan disertainya, tetapi tidak pernah pulang dengan kejuaraan.

Kehebatan juara Sukan Komanwel ini mula terserlah apabila mara ke perlawanan akhir Terbuka Malaysia, sebelum layak ke akhir Sukan SEA Brunei, Terbuka Denmark dan separuh akhir GP Dunia.

Pada GP Dunia, pemain berusia 22 tahun itu berjaya menarik perhatian dengan menundukkan bintang remaja Indonesia dan pemain nombor tiga dunia, Taufik Hidayat pada perlawanan peringkat kumpulan.

Bagaimanapun, Choon Hann gagal mengulangi kecemerlangannya apabila berdepan dengan pemain nombor dua dunia dari Denmark, Peter Gade-Christensen di saingan separuh akhir. Gade-Christensen kemudian muncul juara selepas menewaskan Marleve Mainaky dari Indonesia di akhir.

Beregu Tan Fook-Wan Wah pula mengejutkan bintang nombor satu dunia, Ha Tae Kwon-Kim Dong Moon dalam perlawanan kumpulan, kemenangan kedua ke atas pasangan Korea Selatan itu pada 1999.

Pengalaman dan taktik permainan, bagaimanapun menghalang pasangan muda negara itu untuk melakar sejarah apabila tunduk straight-set kepada beregu nombor dua dunia dari Indonesia, Chandra Wijaya-Tony Gunawan di separuh akhir.

Seorang lagi wakil negara, Ong Ewe Hock mempamer aksi hambar apabila gagal mencatat sebarang kemenangan di peringkat kumpulan, tumpas kepada pemain nombor satu dunia, Sun Jun dan Marleve. Mata tunggal naib juara Kejohanan Asia itu diperoleh apabila pemain Indonesia, Heryanto Arbi menarik diri dalam perlawanan terakhir, akibat sakit perut.

Kegagalan pemain-pemain negara di GP Dunia 1999 mengekalkan pasangan veteran, Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock selaku pemain terakhir merangkul kejuaraan apabila melakukannya di Singapura pada 1995.

Bekas perseorangan utama negara dan pemegang pingat gangsa Sukan Olimpik, Rashid Sidek pula merupakan perseorangan lelaki pertama muncul juara di Kuala Lumpur 1992.

Bagaimanapun pujian masih berhak dimiliki pemain negara, yang pada awalnya tidak langsung diramalkan untuk mara separuh akhir kerana undian peringkat kumpulan yang tidak memihak kepada mereka.

Naib juara Sukan SEA, Choong Hann diundi dalam kumpulan C bersama Taufik dan dua pemain China, Luo Yigang serta Xia Xuanze.

Tan Fook-Wan Wah pula diletakkan dalam kumpulan A bersama juara dunia dan pilihan utama kejohanan ini, Tae Kwon-Dong Moon dari Korea Selatan, juara bertahan, Denny Kantono-Budi Antonius dan Jens Eriksen-Jesper Larsen dari Denmark.

Persembahan yang ditunjukkan pemain negara masih mampu memberi harapan buat Malaysia apabila menjadi tuan rumah Piala Thomas tahun depan, harapan untuk membawa pulang kejuaraan berpasukan paling prestij di dunia sejak 1992.

Ewe Hock mungkin memberikan persembahan baik dalam perlawanan pembukaan menentang Sun Jun, tetapi ia belum cukup untuk pemain Malaysia itu mengetepikan juara dunia apabila kalah 15-13, 17-14.

Ewe Hock juga kehilangan semangat juang dalam perlawanan menentang pemain Indonesia Marleve, yang pernah ditewaskan pada Kejohanan ABC di Kuala Lumpur, September lepas.

Kekalahan straight-set ke atas Marleve menyingkirkan Ewe Hock daripada mara ke separuh akhir dan menamatkan harapannya untuk mengulangi kejayaan memasuki separuh akhir tahun 1998.

Bagi Gade-Christensen pusingan akhir GP Dunia 1999 adalah satu pencapaian yang membanggakan setelah kecewa dalam dua kejohanan sebelum ini.

Bagi pemain Malaysia pula, persembahan kali ini juga membanggakan walaupun masih perlu bekerja keras, jika mahu sasaran memenangi acara berpasukan, Piala Thomas, tahun depan, menjadi kenyataan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4SibNcJto © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan