Rabu, 21 Disember 2016

Harapan terlalu tinggi bawa padah

ARKIB : 14/05/2000
TEKANAN dan pengharapan yang terlalu tinggi menjadi punca utama kekalahan Malaysia pada perlawanan pembukaan Kejohanan Badminton Piala Thomas 2000, kata pengurus pasukan Korea Selatan, Kwon Sheung-taik.

Menurut Sheung-taik, walaupun pemain Malaysia, terutamanya perseorangan menunjukkan permainan yang baik, namun mereka kelihatan gemuruh pada tahap apabila keyakinan untuk mencatat kemenangan sudah terlalu tinggi.

Katanya, apa yang berlaku kepada Malaysia merupakan keadaan biasa yang sering terjadi kepada mana-mana pasukan tuan rumah pada perlawanan pembukaan.

''Inilah kelebihan dan kelemahan beraksi di gelanggang sendiri,'' kata Sheung-taik, selepas menyaksikan pasukannya menundukkan Malaysia 3-2 dalam perlawanan pembukaan kumpulan A, kelmarin.

''Sekarang yang penting adalah bagaimana penerimaan pemain sendiri untuk berdepan suasana di stadium dengan ribuan penonton yang mengharapkan kemenangan daripada mereka,'' katanya lagi.

Bagaimanapun Sheung-taik percaya, keadaan tersebut, terutama untuk pasukan berpengalaman seperti Malaysia tidak akan berterusan.

''Saya percaya, pemain Malaysia banyak belajar daripada pemain kami. Barangkali selepas ini mereka akan bermain berkeyakinan apabila menentang Denmark,'' katanya lagi.

Sementara itu Sheung-taik berkata, walaupun mengejutkan Malaysia, Korea tidak berganjak dengan sasaran awal untuk hanya melangkah ke separuh akhir.

''Terlalu awal untuk menukar sasaran kepada perlawanan akhir atau muncul juara, biarlah kami mengambil setiap perlawanan satu demi satu,'' katanya.

Mata pertama Korea diperoleh menerusi juara dunia, Ha Tae Kwon-Kim Dong Moon yang menundukkan pasangan utama negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah 15-13, 15-6, selepas Choong Hann mengutip mata sulung dengan menewaskan Shon Seung-mo 15-8, 5-15, 15-13.

Keadaan Malaysia mula terancam apabila perseorangan kedua, Ong Ewe Hock kalah mengejut kepada Le Hyun Il, sebelum beregu Korea, Lee Dong-soo-Yoo Yong-sung menepati ramalan dengan membenam gandingan baru, Cheah Soon Kit-Chan Chong Ming.

Roslin Hashim, yang turun sebagai perseorangan ketiga mengutip mata terakhir pasukan negara dengan kemenangan 15-13, 15-8 ke atas Ahn Jae-Chang.

Malaysia meneruskan kempen Kumpulan A dengan menentang India hari ini, manakala Korea Selatan berdepan Denmark dalam satu lagi pertarungan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0514&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4TTmw9ocx © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan