Khamis, 22 Disember 2016

Roslin terpaksa lupakan hasratnya

ARKIB : 16/05/2000
ROSLIN Hashim terpaksa memadamkan hasrat untuk membantu Malaysia menghadapi perlawanan paling genting menentang Denmark hari ini, apabila disahkan gagal pulih sepenuhnya untuk beraksi pada perlawanan terakhir kumpulan A kejohanan badminton Piala Thomas 2000 itu.

Roslin, 25, yang diturunkan sebagai perseorangan ketiga dalam dua perlawanan awal skuad negara mengalami kecederaan siku kanan ketika tewas 10-15, 15-5, 4-8 kepada pemain India, Sidharth Jain, kelmarin.

Menurut Pengarah Perubatan Institut Sukan Negara (ISN), Dr. Ramlan Aziz, kecederaan Roslin mungkin mampu dikurangkan dalam masa yang singkat tetapi adalah mustahil pemain itu dapat diturunkan ketika pertemuan dengan Denmark.

''Kami cuba untuk membantu Roslin mengurangkan kesakitan dan seterusnya dapat beraksi secepat yang mungkin, tetapi saya pasti kita tidak punya masa yang cukup untuk berbuat demikian pada pertemuan dengan Denmark,'' katanya semalam.

Ramlan berkata, beliau berharap pemain itu tidak mengalami kecederaan tisu otot yang memerlukan masa lebih lama untuk pulih. ''Jika masalah terseliuh, kemungkinan untuk Roslin beraksi sekiranya Malaysia layak ke separuh akhir adalah cerah.''

Menurut Roslin, kesakitan itu sudah dirasai sejak set pertama ketika tewas 10-15, bagaimanapun dia cuba bertahan dalam set kedua kerana tidak mahu dianggap sengaja mencari alasan kekalahan.

''Saya paksa diri saya bermain walaupun kesakitan sudah semakin terasa, saya tahu saya boleh menang jika saya mampu bertahan,'' katanya yang memenangi set kedua 15-5.

''Bagaimanapun apabila masuk set ketiga, kesakitan sudah di tahap maksimum dan saya benar-benar tidak mampu meneruskan permainan lalu mengambil keputusan menamatkan permainan lebih awal,'' katanya, yang menganggap keputusan itu adalah yang terbaik untuk mengelak risiko kecederaan yang lebih teruk.

Walaupun merupakan sandaran terbaik negara untuk mengutip mata dalam semua perlawanan pusingan akhir berikutan aksi konsisten yang dipamerkan akhir-akhir ini, Roslin yakin Malaysia tetap berpeluang untuk melayakkan diri ke separuh akhir walaupun terpaksa melupakan khidmatnya.

Katanya, keempat-empat perseorangan negara - Wong Choong Hann, Ong Ewe Hock, Rashid Sidek dan Yong Hock Kin mempunyai pengalaman dan kemampuan untuk melepasi cabaran Denmark.

''Saya tidak fikir pasukan negara akan terjejas hanya kerana ketiadaan saya, setiap pemain yang dipilih mewakili Malaysia adalah yang terbaik di negara ini,'' katanya.

''Sama ada Rashid atau Hock Kin yang diturunkan dalam perseorangan ketiga, kedua-duanya cukup berpengalaman untuk menghadapi pemain Denmark, yang bukan lagi asing buat pemain-pemain kita,'' katanya lagi.

Menurut Roslin, dia tidak terkilan tidak dapat membantu Malaysia untuk menghadapi perlawanan yang dianggap paling getir kerana percaya keupayaan rakan sepasukan yang lain mampu untuk menjinakkan juara Eropah itu.

''Nasihat saya pada rakan-rakan sepasukan yang lain... berjuanglah untuk negara dan berjuang untuk diri sendiri,'' katanya lagi.

Malaysia perlu menang ke atas Denmark hari ini untuk meneruskan kemaraan ke separuh akhir, selepas kedua-dua pasukan menang sekali dan tewas sekali, masing-masing 2-3 kepada Korea Selatan, yang muncul pasukan pertama daripada kumpula A mara ke separuh akhir

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4TZycsCVA © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan