Ahad, 18 Disember 2016

Roslin 'makan besar' di Jepun

RKIB : 08/04/2000
ROSLIN Hashim terus bertindak garang pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun apabila menjadikan pemain nombor satu dunia dan penyandang juara, Peter Gade-Christensen sebagai mangsa terbaru untuk melangkah ke perlawanan separuh akhir di Tokyo, semalam.

Bagaimanapun, kebangkitan Roslin itu gagal diikuti dua beregu negara, Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock dan Rosman Razak-Chew Choon Eng yang tumpas di suku akhir masing-masing.

Ini adalah kejutan ketiga yang dilakukan Roslin pada kejohanan yang menawarkan hadiah AS$180,000 (RM684,000) selepas mengetepikan juara dunia dari China, Sun Jun dan naib juara dunia, Fung Permadi dari Taiwan dalam laluan ke suku akhir.

Pemain Nusa Mahsuri itu, yang berjanji akan menjadikan Terbuka Jepun sebagai gelanggang membalas kepercayaan tersenarai dalam skuad Piala Thomas 2000, mengotakan kata-katanya dengan menundukkan Christensen 16-17, 15-7, 17-14 di suku akhir.

Roslin, ranking ke-33 dunia turut menumpaskan jaguh Denmark itu dalam pertemuan terakhir kedua-dua pemain di Terbuka Malaysia, Julai tahun lalu.

''Saya rasa saya kini berada dalam mood untuk mencatat kemenangan,'' kata Roslin, yang hanya meraih satu gelaran antarabangsa sejak 1998 iaitu Terbuka Belanda.

Pencabar Roslin, 25, di separuh akhir nanti adalah pemain veteran Indonesia, Hendrawan, yang menamatkan cabaran pemain Korea Selatan, Ahn Jae-Chang.

Satu lagi perlawanan separuh akhir akan menemukan dua pemain China iaitu juara Seluruh England, Xi Xuanze dan Ji Xinpeng.

Sementara itu beregu veteran, Soon Kit-Kim Hock masih gagal untuk menemui sentuhan lama apabila tunduk straight-set kepada pasangan Indonesia, Chanra Wijaya-Tony Gunawan 17-7, 15-11.

Beregu dari Indonesia terus menjadi badi buat pemain negara apabila Ricky Subagja-Rexy Mainaky menumpaskan Rosman-Choon Eng 15-4, 15-7.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0408&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4TFmOSN9R © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan