Khamis, 8 Disember 2016

Ong Ewe Hock masuk separuh akhir

ARKIB : 18/09/1999
ONG Ewe Hock melakukan libasan kencang pada perlawanan menentang Indra Wijaya dari Indonesia pada suku akhir Kejohanan Gabungan Badminton Asia (ABC) di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, semalam. Ong menang 17-16, 15-8 untuk mara ke separuh akhir. - Gambar SAIFUL NIZAM BAHARI

ONG Ewe Hock meraikan kejayaannya kembali dalam kelompok 10 pemain terbaik dunia dengan memastikan Jalur Gemilang terus berkibar di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras apabila mara ke separuh akhir perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Asia (ABC)-JVC, semalam.

Beberapa jam selepas melonjak ke tangga ke-10 pada ranking terbaru Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF), Ewe Hock begitu bersemangat meskipun dipaksa berhempas pulas sebelum menundukkan pemain remaja Indonesia Indra Wijaya 17-16, 15-8.

Kemenangan itu akan menemukan Ewe Hock, pilihan ketiga kejohanan dengan seorang lagi pemain Indonesia dan pilihan kelapan, Marleve Mainaky dalam saingan separuh akhir hari ini.

Terdahulu Marleve mengejutkan pilihan kedua dan penyandang juara dari China, Chen Gang 15-11, 15-3 dalam satu lagi perlawanan suku akhir.

''Indra bermain baik di set pertama terutama kawalan di jaring yang begitu kemas, tetapi saya memaksa dia berlari dengan membuat pukulan ke seluruh gelanggang dan Indra melakukan banyak kesilapan,'' kata Ewe Hock selepas perlawanan.

Menurut Ewe Hock, yang sudah melepasi sasaran untuk mara ke separuh akhir, dia memulakan set kedua dengan begitu yakin: ''Sebab itu saya berjaya mendahului dari awal hingga akhir permainan.''

Katanya, pertemuan dengan Marleve hari ini pastinya sukar, walaupun dia memegang rekod perlawanan dan menang pada pertemuan terakhir mereka di Terbuka Jepun tahun lalu.

Sementara itu ketua jurulatih kebangsaan, Morten Frost Hansen membayangkan pertarungan sukar buat anak buahnya itu apabila menentang Marleve hari ini.

''Ewe Hock sedang menghadapi masalah prestasi, manakala Marleve pula dalam kemuncak prestasi. Saya fikir kelebihan adalah buat pemain lawan,'' katanya.

Dalam pertarungan semalam, juara Terbuka Malaysia 1996, Ewe Hock bergelut dalam set pembukaan apabila ketinggalan 0-3, tetapi bangkit menyamakan kedudukan 3-3, sebelum mendahului 9-5.

Permainan bertambah sengit apabila kedua-dua pemain terikat 12-12, dan Indra memegang mata perlawanan apabila mendahului pada kedudukan 14-13, sebelum Ewe Hock mengheret pertarungan ke permainan deuce dan seterusnya menang 17-16.

Set kedua nampak lebih selesa buat perseorangan negara itu, yang baru memperbaiki ranking dunia ke tangga ke-10 kelmarin, apabila mendahului 5-0, 12-7 dan menang 15-8.

Dalam penampilan terakhir pada Kejohanan Piala Konica Terbuka Singapura bulan lalu, Ewe Hock mara ke suku akhir, tetapi tidak beraksi di Terbuka Indonesia akibat kecederaan.

Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir perseorangan lelaki, pilihan utama dan pemain nombor empat dunia dari Taiwan, Fung Permadi akan bertemu pilihan ke-12 dari China, Chen Wei.

Oleh: NORZIE MOHD. KHASBI

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0918&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4SGLASWEd © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan