Selasa, 6 Disember 2016

Pemain negara lakukan kejutan

RKIB : 02/07/1999
PEMAIN kelab Nusa Mahsuri, Roslin Hashim membuat kejutan apabila menumbangkan pemain nombor satu dunia yang juga juara bertahan, Peter Gade Christensen sementara Wong Choon Hann menyingkirkan naib juara dunia, Fung Permadi pada pusingan ketiga Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Stadium Malawati, Shah Alam, semalam.

Roslin yang melalui zaman kemerosotannya sejak menjuarai Terbuka Belanda, Oktober tahun lalu mempamerkan permainan luar biasa selama 70 minit sehingga ke set penentuan.

Kemantangan permainan Roslin dipamerkan seawal set pertama apabila dia mendahului 7-3 dan 14-7 sebelum memenangi set itu dengan 15-8.

Christensen bagaimanpun bangkit untuk menguasai set kedua dan berjaya mendahului 5-1 sebelum menang 15-3 bagi memaksa persaingan sengit itu diteruskan ke set penentuan.

Persaingan pada set penentuan semakin sengit yang menyaksikan Christensen mendahului 8-4 dan 14-10, namun sorakan penonton membangkitkan semangat Roslin untuk menyamai kedudukan 14-14 sebelum menyingkirkan pemain Denmark itu dengan kemenangan 17-15.

''Kemenangan ini adalah untuk keluarga saya, Misbun (Sidek), Nusa Mahsuri dan semua jurulatih tempatan,'' katanya yang akan bertemu Ong Ewe Hock pada suku akhir, hari ini.

Ewe Hock menempah tiket ke separuh akhir setelah menewaskan seorang lagi pemain negara, Jason Wong 15-8, 15-4.

''Kemenangan Roslin turut dibantu oleh tuah kerana sebagai pemain pilihan Christensen lebih tertekan. Roslin memiliki kekuatan tambahan yang membolehkan dia menundukkan Christensen.

''Mungkin kekuatan itu bukan hanya kepada tenaganya, malah mentalitinya,'' kata ketua jurulatih Nusa Mahsuri, Misbun.

Kemaraan Roslin turut diekori rakan sekelabnya, Rashid Sidek yang mara setelah menewaskan pemain muda Indonesia, Jeffer Rosobin 15-12, 15-3.

Sementara itu, Choon Hann menyekat kemaraan Fung dengan kemenangan straight-set 15-7, 15-10, sekaligus menebus kekalahannya ke atas pemain Taiwan itu pada pusingan ketiga Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, bulan lepas.

Nasib berbeza bagaimanapun menimpa seorang lagi pemain negara, Yong Hock Kin yang tewas 15-4, 15-6 kepada pemain China, Luo Yigang yang akan bertemu rakan senegaranya, Sun Jun pada suku akhir.

Dalam beregu lelaki, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah mara ke suku akhir selepas menumpaskan rakan senegara, Ng Kean Kok- Teo Kok Seng 15-17, 15-4, 15-6, manakala Pang Cheh Chang-Cheah Soon Thoe tewas 15-1, 15-4 kepada Chandra Wijaya- Tony Gunawan.

Terdahulu, pasangan Pang Cheh Chang-Lim Pek Siah menjadi beregu campuran tunggal negara meneruskan cabaran ke suku akhir setelah menewaskan Liu En Hong-Cheng Wen Hsing dari Taiwan 15-5, 15-5 dalam masa 20 minit.

Laluan getir bagaimanapun menanti beregu muda negara itu yang akan bertemu pilihan 3/4, Ha Tae Kwon-Chung Jae Hee dari Korea, yang mara dengan menewaskan satu lagi pasangan Taiwan, Wei Jen Lee-Hui Min Tsai, 15-4, 15-12 dalam masa 27 minit.

Oleh: SRY ANGRENI MOHD ZET dan NORZIE MOHD KHASBI

Suber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0702&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4S2yG9WkP © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan