Selasa, 20 Disember 2016

Soon Kit mahu 2 gelaran lagi sebelum bersara

ARKIB : 01/05/2000
SELEPAS hampir 20 tahun mengabdikan diri kepada badminton, pakar beregu negara, Cheah Soon Kit membayangkan 2000 sebagai musim terakhirnya sebelum mengumumkan persaraan.

Soon Kit, yang pernah mengecapi gelaran Piala Thomas dan pingat perak Sukan Olimpik, berazam untuk mengakhiri kariernya dengan seberapa banyak kejuaraan yang mungkin.

Merampas Piala Thomas untuk kali kedua serta menebus kehampaan pada Sukan Olimpik Atlanta 1996 dengan merangkul pingat emas di Sydney 2000 adalah antara sasaran utama yang diletakkan oleh pemain itu sebelum menggantung raket.

''Saya mahu seberapa banyak gelaran yang mungkin sebelum mengundur diri,'' kata Soon Kit, 32.

''Keputusan untuk bersara bukan sesuatu yang mudah kerana badminton sudah menjadi sebahagian daripada darah daging.

''Bagaimanapun saya harus menerima hakikat usia saya sudah semakin meningkat dan pada masa yang sama pemain muda di negara ini semakin menunjukkan peningkatan,'' katanya lagi.

Soon Kit dan Rashid Sidek merupakan anggota juara Piala Thomas 1992 yang masih kekal bersama skuad 2000.

Berpasangan dengan Soo Beng Kiang merupakan detik gemilang buat pemain Perak itu kerana selain daripada muncul naib juara Olimpik, pasangan itu juga menjuarai pusingan akhir Grand Prix Dunia dan pingat perak Sukan Asia 1994.

Bagaimanapun komunikasi dan kurang persefahaman menyaksikan pasangan ini berpecah pada pertengahan 1997 sebelum Soon Kit bertukar beberapa gandingan termasuk, Kim Hock, Choong Tan Fook dan Lee Chee Leong.

Kim Hock merupakan gandingan paling serasi selepas Beng Kiang, pasangan ini berjaya muncul naib juara Seluruh England, juara Terbuka Jepun dan naib juara Sukan Komanwel.

Bagaimanapun, Soon Kit sekali lagi hilang haluan apabila Kim Hock mengumumkan persaraannya selepas tamat Sukan Komanwel 1998.

Walaupun agak cemerlang ketika bersama Tan Fook, sikap ''panas baran'' Soon Kit dikatakan menyebabkan kedua-dua pemain berbalah dan mendorong Tan Fook menarik diri.

''Saya hampir putus asa dan mahu mengumumkan persaraan lebih awal,'' kata Soon Kit, yang ketika itu turut menyaksikan gandingan bersama Chee Leong tidak menjadi.

''Bagaimanapun Kim Hock datang bertemu saya dan menyatakan persetujuan untuk kembali beraksi dengan Sukan Olimpik sebagai sasaran utama kerana dia tahu temasya itu amat bermakna buat kami,'' katanya.

Menurut Soon Kit, mujurlah mereka berjaya melayakkan diri ke Sydney 2000. ''Jika tidak, mungkin saya sudahpun bersara dan melupakan Piala Thomas,'' katanya.

Soon Kit-Kim Hock kini berada di ranking ke-10 dunia, manakala Tan Fook-Lee Wan Wah mengetuai beregu negara dengan berada di tangga keempat.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0501&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4TOqUrk75 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan