Selasa, 13 Disember 2016

Choong Hann terus unggul untuk negara

ARKIB : 11/12/1999
WONG Choong Hann terus unggul sebagai pemain nombor satu negara sekali gus mencerahkan peluangnya menempah tiket ke Sukan Olimpik berikutan peningkatan kedudukan rankingnya dalam Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) yang dikeluarkan semalam.

Kejayaan mara ke pusingan separuh akhir Kejohanan Grand Prix akhir di Brunei, minggu lepas di samping menewaskan pemain pilihan, Taufik Hidayat dari Indonesia membolehkannya melonjak dari tangga ke tujuh ke tempat keempat, minggu ini.

Ong Ewe Hock yang turut beraksi di Brunei juga memperbaiki kedudukan rankingnya dari tangga ke-18 ke kedudukan ke-14 walaupun sekadar beraksi di peringkat kumpulan.

Selain Choong Hann, pasangan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah yang juga mara ke separuh akhir kejohanan enam bintang itu turut menempatkan diri sebagai beregu keempat dunia.

Ranking terbaru itu juga menyaksikan juara GP akhir, Peter Gade Christensen dari Denmark kembali merampas tempat sebagai pemain nombor satu dunia yang dikuasai Sun Jun dari China sejak beberapa bulan lalu.

Gade Christensen merupakan pemain kedua Eropah menjuarai GP akhir selepas Morten Frost Hansen yang kini bertugas sebagai Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Sun Jun yang gagal mempertahankan kejuaraannya buat kali ketiga berturut-turut setelah kecundang di peringkat kumpulan kini berada di tangga kedua sementara naib juara GP akhir, Marleve Mainaky dari Indonesia di tangga ketiga.

Taufik, pemain harapan Indonesia untuk merangkul gelaran juga GP akhir bagaimanapun turun dua anak tangga di tempat enam berikutan kegagalannya mara ke pusingan separuh akhir.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4SipI0iYy © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan