Khamis, 8 Disember 2016

Ewe Hock kempunan juara


 

ARKIB : 20/09/1999
JUARA baru, Chen Hong (kanan) memegang replika cek AS$10,000 (RM38,000) dan trofi kejuaraan selepas menumpaskan pemain negara, Ewe Hock (kiri) dalam perlawanan akhir Kejohanan Badminton Asia di Kuala Lumpur, semalam.

ONG Ewe Hock kempunan untuk merangkul kejuaraan sulung sejak tiga tahun, apabila tumpas dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Asia (ABC)-JVC di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras semalam.

Hasrat Ewe Hock, 27, untuk meraih gelaran kedua selepas menjuarai Terbuka Malaysia 1996 tidak kesampaian, apabila kecundang 11-15, 8-15 kepada pemain muda China, Chen Hong dalam pertarungan 37 minit.

Kekalahan pilihan ketiga itu turut gagal mengembalikan kejuaraan perseorangan lelaki Asia ke Malaysia selepas Foo Kok Keong melakukannya di Shanghai, China lima tahun lalu.

Penguasaan penuh Chen Hong, 20, terutama pada set kedua melayakkannya untuk membawa pulang wang kemenangan AS$10,000 (RM38,000) selaku juara, manakala Ewe Hock meraih AS$7,000 (RM26,600).

''Kekalahan ini sedikit mengecewakan, tetapi Chen Hong layak menang kerana dia berjaya mengawal permainan dengan baik,'' kata Ewe Hock.

''Saya cuba bermain pantas dengan menghantar bola laju, tetapi tiupan angin menyebabkan bola terlalu jauh dan kerap terkeluar. Keadaan itu benar-benar mengurangkan keyakinan saya,'' katanya lagi.

Kejohanan yang akan disertai perseorangan utama negara itu selepas ini adalah Terbuka Denmark pada 13 hingga 17 Oktober depan, di mana Malaysia turut menghantar naib juara Sukan SEA, Wong Choon Hann.

''Saya tidak mahu meletakkan sebarang sasaran. Biarlah saya hadapi perlawanan satu demi satu. Bagaimanapun saya tegaskan saya tidak tertekan, saya percaya akan mendapat semula semangat yang hilang,'' katanya lagi.

Dalam perlawanan semalam, Ewe Hock, naib juara Seluruh England 1998 bergelut di set kedua dan suatu ketika ketinggalan 1-7. Walaupun cuba merapatkan jurang kepada 4-9, namun Chen Hong pantas kembali mengawal permainan untuk kemenangan 15-8.

Kejohanan ABC bernilai AS$136,000 (RM516,800) penampilan kedua Ewe Hock sejak diketepikan daripada skuad Sukan SEA Brunei, Ogos lalu. Ewe Hock hanya layak ke suku akhir pada Piala Konica Singapura, awal bulan ini.

Bagaimanapun Ewe Hock, yang memperbaiki ranking dunianya ke tangga ke-10 Khamis lalu, dijangka mampu melonjak lagi dalam kedudukan dunia apabila senarai terbaru dikeluarkan minggu depan.

''Saya benar-benar gembira kerana saya tidak pernah menyangka akan pergi sejauh ini,'' kata Chen Hong, yang menyertai skuad kebangsaan China pada 1997.

Sementara itu dalam beregu lelaki, pasangan nombor satu dunia dan pilihan utama, Ha Tae Kwon-Kim Dong Moon menepati ramalan apabila menumpaskan pilihan ketiga dari China, Zhang Wei-Zhang Jun 15-6, 15-4.

Juara dunia itu merangkul AS$12,000 (RM45,000) selaku juara, manakala Zhang Wei-Zhang Jun, yang menumpaskan pasangan negara, Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock di separuh akhir menerima AS$8,000 (RM30,400).

Dalam perseorangan wanita, penyandang juara, Ye Zhaoying mempertahankan kejuaraan apabila menumpaskan rakan senegara dari China, Zhang Ning 11-8, 11-5.

Zhaoying, yang merangkul kejuaraan Asia buat kali kelima membawa pulang AS$6000 (RM22,800), naib juara Zhang Ning menerima AS$4000 (RM15,200).

Beregu wanita turut menjadi milik China menerusi beregu nombor satu dunia, Ge Fei-Gu Jun yang menang 11-15, 8-15 ke atas Ra Kyung Min-Chung Jae Hee dari Korea Selatan. Juara menerima AS$7000.

Dong Moo meraih gelaran kedua berpasangan dengan Kyung Min dalam beregu campuran apabila menewaskan Liu Yong-Ge Fei dari China 15-7, 15-13. Kemenangan membolehkan mereka meraih AS$5000 (RM19,000).

KEPUTUSAN AKHIR
Perseorangan lelaki - Chen Hong (Chn) kln ONG EWE HOCK (MAS) 15-11, 15-8

Beregu - Ha Tae Kwon-Kim Dong Moon (Kor) kln Zhang Wei-Zhang Jun (Chn) 15-6, 15-4

Perseorangan wanita - Zhaoying (Chn) kln Zhang Ning (Chn) 11-8, 11-5

Beregu - Ge Fei-Gu Jun (Chn) kln Ra Kyung Min-Chung Jae Hee (Kor) 15-8, 15-10

Beregu campuran - Kim Dong Moon-Ra Kyung Min (Kor) kln Liu Yong-Ge Fei (Chn) 15-7, 15-13.

SUMBER=Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0920&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4SGOMVnkT © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan